Kulat gelam bermusim, jadi buruan penduduk

Kulat gelam bermusim, jadi buruan penduduk

NUR Saniah Ismail menunjukkan kulat gelam yang siap diproses dan dibungkus untuk dijual di Kampung Bukit Kemudu, Setiu, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kemunculan kulat selepas hujan membawa rezeki kepada pencari kulat gelam apabila tumbuhan liar bermusim itu mula tumbuh subur di kawasan pokok gelam di sekitar daerah ini.

Seorang penduduk, Nur Saniah Ismail, 27, berkata, sejak Khamis lalu ramai penduduk mengambil peluang masuk ke kawasan hutan dan paya bagi mencari makanan tradisional yang semakin sukar ditemukan itu.

Katanya, kulat gelam lazimnya mula tumbuh selepas tiga hingga empat hari hujan terutama selepas keadaan cuaca panas.

“Kulat gelam tumbuh secara semula jadi di bawah pokok gelam dan hanya muncul ketika musim tertentu. Setiap hari kami cari dan mampu memperoleh sehingga 50 kilogram.

“Kulat ini makanan orang kampung sejak dulu dan ramai sanggup mencarinya walaupun perlu masuk kawasan semak semata-mata untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bukit Kemudu di sini, semalam.

Nur Saniah berkata, kulat tersebut perlu dibersihkan dan direbus selama satu hingga dua jam bagi bagi menghilangkan rasa pahit selain memastikan ia tahan lebih lama.

Katanya, kulat berkenaan yang direndam air dan disimpan secara sejuk beku mampu bertahan sehingga setahun.

Menurutnya, kulat gelam sering dimasak lemak cili api, kerabu mahupun dibuat kulat air asam yang merupakan lauk tradisional kegemaran masyarakat Pantai Timur ketika musim hujan.

“Permintaan terhadap kulat gelam semakin meningkat terutama selepas jualannya dipromosikan menerusi Facebook meskipun golongan muda tidak terlalu mengenali makanan ini namun ada dalam kalangan mereka yang membelinya untuk ibu bapa.

“Saya jual kulat gelam yang telah siap diproses sekitar RM5 bagi 500 gram dan biasanya dalam tempoh satu atau dua hari sahaja sudah habis dijual,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN