Jahidah: Serangan ganas, kejam seorang suami terhadap isteri

Jahidah Nordin: Serangan ganas, kejam seorang suami terhadap isteri

ROSMAINI Abd. Raof dibawa ke mahkamah bagi permohonan pergantungan hukuman penjara yang dihadapinya atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah keatas isterinya sehingga koma di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peniaga yang menyebabkan bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jahidah Nordin @ Slyvester kini berada dalam keadaan vegetatif dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun berkuat kuasa semalam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah dan bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid selepas membenarkan rayuan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari.

Panel terbabit meminda hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan sebelum ini terhadap Rosmaini Abd. Raof selepas mendapati tempoh pemenjaraan itu tidak memadai.

JAHIDAH NORDIN

Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa semalam yang juga merupakan tarikh sama Jahidah dipukul dengan kejam sehingga koma oleh Rosmaini, lima tahun lalu. Pasangan itu telah bercerai secara fasakh pada 14 Mac 2023.

Lelaki terbabit yang kini disiasat atas kes berlainan memukul isterinya sehingga gugur turut diperintahkan membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah itu melalui wakil keluarga wanita itu, Fazariah yang merupakan kakak kepada Jahidah.

Rosmani bagaimanapun dilihat tersenyum ketika keluar dari kandang tertuduh selepas mendengar keputusan tersebut.

Terdahulu ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Noorin menyatakan kes yang berlaku pada Jahidah bukanlah satu kes menyebabkan kecederaan parah yang biasa.

“Kes ini sebenarnya melibatkan kemusnahan dua kehidupan. Kesan kecederaan yang dialami mangsa (Jahidah) adalah setara dengan kemusnahan kehidupan secara keseluruhan. Mangsa hidup hanya pada nama, tanpa keupayaan untuk berfungsi sebagai seorang manusia secara bermakna.

“Kesan daripada perbuatan Rosmaini bukan sahaja menimpa mangsa malah turut melibatkan anak yang dikandung (Jahidah) ketika kejadian. Anak tersebut (kini) mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden tersebut,” ujar Hakim itu.

Panel terbabit menyatakan walaupun Hakim Mahkamah Sesyen telah merujuk kepada prinsip hukuman yang betul, namun beliau gagal memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap faktor-faktor pemberatan hukuman yang sewajarnya menjadikan hukuman penjara 10 tahun itu tidak memadai.

“Fakta kes menunjukkan satu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isterinya yang ketika itu sedang mengandung. Tahap keganasan yang dilakukan adalah amat serius sehingga menyebabkan mangsa berada dalam keadaan vegetatif kekal sehingga ke hari ini.

“Keterangan perubatan menunjukkan kecederaan yang meluas dan dahsyat termasuk pendarahan otak, patah tulang di beberapa bahagian dan kerosakan neurologi yang teruk. Keadaan mangsa adalah tidak boleh dipulihkan dan mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan asas kehidupan.

“Keterangan impak mangsa (oleh adik ahli keluarga Jahida) menggambarkan mangsa “mayat hidup” yang memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih,” katanya.

Lain-lain faktor pemberat hukuman lain yang wajar diberi pertimbangan ialah kesalahan berlaku dalam konteks keganasan rumah tangga yang melibatkan pelanggaran kepercayaan dalam institusi perkahwinan dan mangsa berada dalam keadaan terdedah (vulnarable) kerana sedang mengandung.

“Rosmaini tidak menunjukkan sebarang penyesalan, gagal memberikan sebarang bantuan atau sokongan kepada mangsa selepas kejadian.

“Peruntukan seksyen 326A Kanun Keseksaan dengan jelas mencerminkan hasrat Parlimen untuk mengenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan keganasan rumah tangga. Hukuman maksimum 14 tahun penjara menunjukkan keseriusan yang diberikan oleh undang-undang terhadap kesalahan sebegini.

“Dalam keadaan di mana kesalahan telah menyebabkan kemusnahan kekal terhadap kehidupan mangsa, kepentingan awam serta keperluan pencegahan khusus dan umum adalah amat penting. Hukuman yang tidak setimpal dalam kes seperti ini akan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan dan gagal mencerminkan kecaman mahkamah terhadap perbuatan kejam sedemikian,” ujar Hakim Noorin.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah yang ketika itu hamil 10 minggu, dengan memukul kepala, muka dan tangan mangsa serta menendangnya di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, pada jam 6 pagi, 4 Mei tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membolehkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh maksimum.

Dalam kejadian itu, Jahidah antaranya mengalami cedera parah pada kepala sehingga tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak selepas dipukul.

Sementara itu, Rosmaini akan didakwa atas pertuduhan hampir sama membabitkan isterinya yang lain, dalam masa terdekat. Peguam Kamal Hisham Ja’afar yang mewakili Rosmaini ketika dihubungi media memberitahu, pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Alor Setar, Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN