Lelaki pukul sekumpulan remaja guna topi keledar ditahan

Lelaki pukul sekumpulan remaja guna topi keledar ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam penderaan kanak-kanak dan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Ia susulan penularan rakaman video di media sosial yang menunjukkan sekumpulan remaja dipercayai pelajar sebuah madrasah, dipukul oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 11.55 malam tadi itu.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam  kenyataan semalam.

Kasim berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan peranan individu terbabit berdasarkan rakaman video yang tular.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta diminta menghormati privasi semua pihak terbabit.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” jelasnya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki memukul sekumpulan remaja di sebuah premis termasuk dengan menggunakan topi keledar selain menampar dan menendang mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×