Ibu derma buah pinggang untuk lihat anak kembali hidup normal

Ibu derma buah pinggang untuk lihat anak kembali hidup normal

AZIZAN Saad (kiri) melihat Ummi Kalsom (kanan) menguruskan Muhammad Amirul Naim yang menderita sakit buah pinggang di Kampung Tebuk, Tambun Tulang, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tidak sanggup melihat anak terus menderita, seorang ibu dari Kampung Tebuk, Tambun Tulang, di sini, berkorban menderma buah pinggang kepada insan kesayangannya itu.

Bagi Ummi Kalsom Ismail, 54, tiada pengorbanan lebih besar mampu dilakukan selain menyerahkan sebelah buah pinggang demi melihat anaknya, Muhammad Amirul Naim Azizan, 29, kembali menjalani kehidupan normal selepas lima tahun menjalani dialisis.

Suri rumah itu berkata, Muhammad Amirul disahkan menghidap Nephrotic Syndrom (kebocoran buah pinggang) ketika berumur 15 tahun, namun kesihatan anaknya itu kembali stabil selepas mene­rima rawatan.

Katanya, selepas tiga tahun, penyakit itu kembali men­yerang sehingga menyebabkan anaknya yang pernah bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan feri terpaksa dihantar pulang oleh majikan sebelum dikejarkan ke hospital dan memulakan rawatan dialisis sejak 2021.

“Bermula detik itu, hidup dia hanya bergantung kepada mesin dialisis. Seminggu tiga kali, dia perlu cuci darah dan setiap sesi mengambil masa hampir empat jam. Bila balik rumah, memang dia terlalu letih sehingga tidak larat berbuat apa-apa.

“Melihat keadaan Amirul semakin lemah saban hari yang terpaksa dipapah untuk berjalan, membuatkan saya memutuskan mendermakan sebelah buah pinggang kepada Amirul.

“Pada peringkat awal, anak saya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana bimbang pelbagai risiko yang boleh berlaku semasa pembedahan kelak. Anak saya memang tidak setuju sebab dia kesian kepada saya tetapi saya cakap kalau emak sendiri tidak bantu, siapa lagi, saya reda dan anggap ini pengorbanan seorang ibu untuk anak.

“Saya memang pernah daftar sebagai penderma organ dan ada kad penderma tetapi tidak sangka akhirnya saya sendiri dapat dermakan buah pinggang itu kepada anak ketika masih hidup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini semalam.

Katanya, dia telah selesai menjalani semua pemeriksaan kesihatan sebagai penderma buah pinggang dan kini hanya menunggu panggilan untuk prosedur seterusnya dan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, suaminya, Azizan Saad, 58, berkata, me­reka perlu menanggung kos ra­watan tinggi setiap bulan termasuk rawatan dialisis walaupun sebahagian dibantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kata pesawah itu, kos sekitar kira-kira RM700 hingga RM800 perlu ditambah setiap bulan bagi rawatan dialisis Amirul di pusat swasta malah secara keseluruhannya, per­belanjaan perlu ditanggung me­reka mencecah lebih RM1,500 sebulan termasuk ubatan dan keperluannya.

“Isteri saya hanya suri rumah dan saya pula bergantung kepada pendapatan sebagai pesawah yang mana hasil tidak menentu. Kami telah membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi membantu anak menjalani rawatan dialisis bagi mengurangkan bebanan ditanggung,” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasio­nal (BSN) 0212841100039519 atas nama Azizan Saad.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN