
MEKAH: Pengalaman menunaikan haji pada usia 66 tahun membuka ruang muhasabah mendalam buat seorang pelakon veteran apabila mula lebih banyak memikirkan soal bekalan akhirat dan perubahan diri selepas puluhan tahun mengejar dunia seni.
Menurut Mahmud Ali Bashah, dia mengakui pernah melalui fasa gelap ketika muda apabila terlalu sibuk mengejar kerjaya sehingga mengabaikan aspek agama dan perjalanan menuju akhirat.
Katanya, peningkatan usia selain kehilangan ramai rakan seperjuangan dalam dunia seni menjadi titik kesedaran untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah setelah diberi peluang mengerjakan ibadat itu pada tahun ini.
“Bila umur semakin meningkat, kita mula fikir tentang kematian. Dulu masa muda, kita sibuk dengan kehidupan sendiri, kerja, dunia glamor dan macam-macam lagi sampai kadang-kadang lupa tentang agama.
“Tapi bila sampai ke Tanah Suci dan melihat suasana orang beribadah, memang timbul kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik dan lebih memikirkan akhirat,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut pelakon dari Sarawak itu, pengalaman berada di Mekah dan Madinah memberi ketenangan berbeza selain membuatkan dirinya lebih menghargai kehidupan.
Mengulas seruan ke Tanah Suci, Mahmud berkata, beliau bersyukur dapat menunaikan haji pada usia 66 tahun selepas menunggu lebih 30 tahun dan beberapa kali membuat rayuan.
Katanya, ketika mula membuka akaun Tabung Haji, beliau menyangka proses pendaftaran haji berlaku secara automatik sebaik mempunyai simpanan minimum.
Katanya, kekeliruan itu menyebabkan namanya tidak berada dalam senarai menunggu haji lebih awal sehingga terpaksa membuat rayuan beberapa kali sebelum berjaya menunaikan ibadah tersebut tahun ini.
“Bila sedar perkara itu, memang sudah lambat dan terpaksa tunggu lama. Saya buat rayuan sampai tiga kali sebelum berjaya,” katanya. – UTUSAN










