Dron bantu PGA tahan sembilan PATI

Dron bantu PGA tahan sembilan PATI

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan PGA dalam serbuan di Kampung Siram, Jeram Perdah, Pasir Mas, Kelantan semalam.-IHSAN PGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Penggunaan dron membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi di Kampung Siram, Jeram Perdah di sini semalam.

Kesemua PATI terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki berusia antara 20 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemantauan udara menggunakan dron berjaya mengesan sekumpulan individu berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi kemudian menghampiri kumpulan terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Bagaimanapun, kesemua individu terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan.

“Siasatan awal mendapati mereka memasuki Thailand menggunakan kapal terbang pada 11 Mei lalu sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui Sungai Golok menggunakan khidmat ejen warga negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, kesemua PATI terbabit dipercayai membayar kira-kira 3,000 Baht seorang untuk dibawa masuk ke negara ini sebelum dihantar ke pengkalan haram Pak Antah.

Katanya, mereka turut dipercayai bersembunyi selama dua hari di tepi Sungai Golok bagi memastikan keadaan selamat sebelum menyeberang masuk ke Malaysia menaiki perahu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Pasir Mas mendapati kesemua tahanan negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan semua tahanan diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN