Bunuh OKU di Bachok: Empat suspek tiba di mahkamah untuk pendakwaan

Bunuh OKU di Bachok: Empat suspek tiba di mahkamah untuk pendakwaan

EMPAT suspek tiba untuk prosiding perbicaraan sambil diiringi polis untuk proses pendakwaan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Empat suspek yang ditahan bersabit kes bunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam yang ditemukan parah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu tiba di Mahkamah Kota Bharu di sini untuk proses pendakwaan.

Kesemua tiba pada pukul 8.30 pagi dengan masing-masing dua memakai baju lokap berwarna oren dan dua ungu sambil diringi anggota polis dengan menaiki kenderaan pasukan.

Difahamkan kesemua suspek akan didakwa mengikut pertuduhan berasingan.

Dua suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala dua lagi Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu melupuskan keterangan dan menyembunyikan bukti.

Utusan Malaysia 18 Mei lalu melaporkan, dendam lama dipercayai menjadi motif utama kepada pembunuhan seorang lelaki OKU lembam yang ditemukan parah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang dilakukan selepas mendapati tujuh suspek yang ditahan termasuk pasangan suami isteri yang berusia antara 25 hingga 52 tahun ipercayai mempunyai sejarah perselisihan faham dengan mangsa.

Terdahulu, 15 April lalu, seorang lelaki OKU lembam dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu.

Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, dekat sini selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.

Sebelum itu, dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagian muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN