BACHOK: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kebakaran semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai di Jalan Pantai Perkasa di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kebakaran bermula di kawasan semak berhampiran sebuah rumah terbengkalai telah merebak seingga ke kawasan penempatan penduduk lain.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, penahanan wanita itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.
Katanya, siasatan awal mendapati pengadu telah dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar.
“Pengadu bersama beberapa saksi telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak serta merebak ke arah kawasan berhampiran rumahnya.
“Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, siasatan lanjut mendapati terdapat kesan pembakaran sampah di atas tanah milik seorang wanita tempatan yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat melakukan aktiviti pembakaran sampah di kawasan tersebut sekitar pukul 11.30 pagi pada hari kejadian.
“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kawasan yang terlibat meliputi kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai sehingga ke hadapan rumah pengadu, termasuk tanaman serta beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka kenderaan jenis Proton Wira, kayu binaan dan pagar besi,” ujarnya.-UTUSAN










