KUALA PILAH: Penduduk Kampung Ulu Inas, Johol berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air mineral selepas telaga tiub yang dibina 11 tahun lalu rosak dan tidak dibaiki hampir setahun walaupun aduan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ulu Inas, Wanlah Wankih berkata, kerosakan itu merupakan kali kedua berlaku selepas sebelum ini kerosakan kerana digigit tikus.
Katanya, dua tahun lalu, mereka ada datang baiki sekali selepas mendapati berlaku kerosakan akibat digigit tikus dan telaga ini berfungsi semula.
“Namun, pada tahun lalu pam air di telaga ini gagal berfungsi dan aduan terhadap kerosakan pam telaga tersebut telah dibuat kepada agensi berkaitan, namun sehingga kini tiada tindakan diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Ulu Inas semalam.
Wanlah berkata, penduduk kampung tidak mempunyai kepakaran dan kewangan mencukupi bagi membaiki pam berkenaan memandangkan kosnya yang tinggi.
“Kalau kerosakan kecil mungkin boleh baiki sendiri, tetapi ini melibatkan pam dan motor, memang di luar kemampuan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung berkenaan, Noriah Ahmad, 55, berkata telaga tiub itu sebelum ini menjadi antara sumber penting penduduk untuk kegunaan kenduri dan harian.
Katanya, masih ada lagi penduduk yang gemar mengambil air itu terutama untuk kenduri bagi menjimatkan kos, namun sejak rosak kemudahan itu tidak dapat dimanfaatkan dan sudah ramai yang bertanya bila telaga ini boleh digunakan.-UTUSAN.










