‘Sudahlah tidak ada air, minyak pula mahal’

‘Sudahlah tidak ada air, minyak pula mahal’

KENAIKAN harga diesel yang kini mencecah RM6.02 seliter memberi kesan cukup besar kepada pesawah yang dijangka berdepan peningkatan kos operasi terutama upah jentera sehingga 50 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesawah berdepan peningkatan kos operasi sehingga 50 peratus ekoran enaikan harga diesel mencecah RM6.02 seliter.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kos operasi terutama upah jentera menyebabkan mereka terpaksa berfikir panjang untuk memulakan musim baharu tanaman Mei ini.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 63, berkata, pengeluaran padi tersebut bergantung kepada penggunaan diesel bermula jentera membajak, pam air, mesin menuai hinggalah kepada pengangkutan hasil.

Katanya, masalah itu ditambah kekurangan sumber bekalan air berikutan kemarau.

“Sudahlah air tidak ada, minyak (diesel) pula mahal,” katanya.

Mohd. Noor berkata, ketika ini, pesawah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tunai yang banyak dengan pembelian diesel bagi 100 liter sudah mencecah RM602 dan kos upah yang tinggi.

Dia yang mengusahakan sawah di kawasan seluas dua hektar memberitahu, kos mengusahakan sawah bagi satu hektar yang sebelum ini RM1,500 meningkat kepada RM2,200.

“Jika sebelum ini, kos upah mesin padi bagi 0.3 hektar sekitar RM180 bakal melambung kepada RM200 atau lebih dan begitu juga kos traktor dari RM130 untuk keluasan sama bakal mengalami peningkatan sehingga 50 peratus selain upah lori daripada RM25 dijangka naik kepada RM40.

“Pendapatan saya pula dijangka menyusut dari RM15,000 kepada sekitar RM7,000. Semua jentera pakai diesel dan pengusaha jentera berat itu juga tidak mempunyai pilihan terpaksa menaikkan kos upah ekoran peningkatan harga diesel sangat tinggi.

“Selain upah jentera, input pertanian seperti baja, benih dan sebagainya turut dijangka naik seiring dengan kenaikan harga diesel tersebut. Saya jangka ramai pesawah terpaksa menangguhkan penanaman musim ini,” katanya.

Seorang pengusaha jentera berat, Che Fariz Izani Che Ya,37, pula berkata, kos sewa jentera dijangka meningkat dari RM350 kepada RM450 bagi tiga putaran untuk keluasan 0.3 hektar.

Katanya, pengusaha jentera tidak mempunyai pilihan selain perlu juga menaikkan kos upah berikutan kenaikan harga diesel tersebut.

“Paling terbeban sudah pastinya pesawah dan kami juga perlu menampung pelbagai kos lain kesan kenaikan tersebut. Selain jentera berat, kos upah lori juga dijangka naik 30 peratus.

“Saya cadangkan jika harga minyak tidak boleh turun, kerajaan perlu menyalurkan subsidi minyak kepada jentera pertanian ini bagi membolehkan pengusaha mengekalkan kos sewa jentera pada harga lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN