KANGAR: Ketidaktentuan harga diesel ketika ini hanya memberi kesan kepada nelayan tidak berlesen yang tidak memperoleh subsidi kerajaan.
Bagi nelayan yang mempunyai lesen, mereka tidak terjejas dengan kenaikan harga bahan api berkenaan kerana membeli pada harga subsidi RM1.65 seliter.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis, di sini, kebanyakan nelayan masih turun laut seperti biasa disebalik ketidaktentuan harga diesel tersebut.
Bagi nelayan tidak berlesen, meskipun terpaksa membeli diesel pada harga mahal namun mereka tetap kental turun ke laut demi mencari rezeki menampung kehidupan seharian keluarga.
Seorang nelayan tidak berlesen dari Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis, Nordin Dahman, 55, berkata, perkembangan itu sememangnya memberi kesan kepadanya berikutan perlu membeli bahan bakar tersebut pada harga tanpa subsidi yang sedikit membebankan.
Katanya, dia sebelum ini sudah tiga kali membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi mendapatkan lesen sejak menjadi nelayan dari tahun 2016.
“Namun sehingga kini, permohonan itu masih belum diluluskan walaupun saya aktif turun ke laut. Apabila status permohonan masih tidak diluluskan, saya perlu membeli bahan api berkenaan pada harga biasa yang sedikit membebankan setiap kali ingin turun ke laut,” katanya.
Sebagai rekod, harga runcit diesel di semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April ini.
Nordin berkata, dia berharap permohonan nelayan-nelayan tidak berlesen dapat disemak dan diluluskan segera.
“Kami pun sedia maklum banyak bantuan dan sokongan akan diperolehi sekiranya mendaftar dan disebabkan itu saya berharap permohonan ini dapat diperhalusi,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Azhari Yahaya, 64, berkata, dia tidak terkesan dengan ketidaktentuan harga diesel berikutan memperolehi bantuan subsidi daripada kerajaan.
“Harga peralatan dan barangan menangkap ikan juga masih sama tanpa menunjukkan sebarang peningkatan mendadak. Subsidi kerajaan sedikit sebanyak membantu kami meneruskan kerja menangkap ikan di laut,” katanya.-UTUSAN










