SHAH ALAM: Stadium Shah Alam boleh digunakan pada 2029 bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII sekiranya temasya itu yang sepatutnya berlangsung pada Ogos tahun ini ditangguhkan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, kerja-kerja pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijadualkan bermula pada bulan depan.
“Kalau kita tengok komen daripada orang awam, (mereka mendakwa) macam tiada langsung perkembangan di tapak, tetapi sebenarnya berlaku kerja-kerja tanah dan setakat ini dalam 8.2 peratus program yang kita laksanakan.
“Insya-Allah bulan Mei atau Jun akan berlaku kerja-kerja pemasangan cerucuk dan lebih banyak aktiviti di tapak pembinaan. Insya-Allah pada Mei 2028, stadium akan siap. Seperti mana titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, mungkin Sukan Malaysia (SUKMA) XXII boleh dilaksanakan pada 2029 apabila stadium sedia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih MBI Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu, pada pembukaan Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026, Sultan Sharafuddin bertitah mencadangkan supaya yang akan berlangsung pada Ogos ini ditangguhkan susulan konflik Asia Barat.
Sehingga krisis tersebut berakhir, baginda turut mencadangkan temasya dwi tahunan itu ditangguh sampai Stadium Shah Alam siap untuk digunakan.
Februari lalu, perkembangan pembangunan KSSA berada pada tahap 7.33 peratus dengan meneruskan kerja perobohan struktur di kawasan Extreme Park Seksyen 13 sebagai sebahagian daripada projek mega itu.
Selain itu, Saipolyazan memaklumkan perancangan MBI Selangor dalam mendepani kesan akibat konflik Asia Barat termasuklah mengenal pasti potensi-potensi pelaburan lain selain sektor hartanah.
Katanya, ia antara usaha yang dilakukan bagi memastikan syarikat berada pada landasan dalam mencapai sasaran keuntungan RM6 bilion tahun ini dan RM8 bilion pada 2028.
“Kita lihat (krisis) Asia Barat ada pro and cons dari segi perniagaan, macam itu juga jika industri manufacturing kami jika berlaku kejatuhan dolar kami juga terpaksa melihat semula perniagaan disebabkan berlaku kekurangan pendapatan.
“Jadi, kami cuba beradaptasi dengan situasi tersebut menerusi langkah-langkah perniagaan supaya kesan daripada perang itu dapat diatasi. Di pihak Yayasan MBI sendiri, kami bersama kerajaan negeri melihat bidang mana yang kami harus bantu masyarakat dan juga rakyat Selangor,” ujarnya. – UTUSAN










