KOTA BHARU: Polis Kelantan akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud yang didakwa memperlekehkan tugas pasukan itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) dalam masa terdekat.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kertas siasatan itu sudah lengkap sepenuhnya selepas ADUN Melor tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semalam untuk memberi keterangan.
“Semuanya (siasatan) sudah lengkap dan kita akan serah kertas pertuduhan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat semakan.
“Sama ada tuduh atau tidak…kita serah kepada Timbalan Pendakwaraya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Wan Rohimi menegaskan ada pihak cuba melaga-lagakan beliau dengan pihak polis susulan dakwaan memperlekehkan tugas pasukan itu semasa Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB pada Sabtu lalu.
Wan Rohimi berkata, istilah ‘keno bbodo’ yang dilontarkan semasa menyampaikan ucapan di Lembah Sireh selepas konvoi itu tamat bukan bertujuan memperlekeh tugas polis.
“Orang Kelantan semua tahu ‘kena bbodo’ itu tipu muslihat (untuk memudahkan urusan) bukan makian. Maknanya bila polis buat sekatan jalan raya (SJR), kita bukan nak lari, tapi ‘outsmart’ supaya perjalanan konvoi tidak terganggu,” katanya.
Sebelum itu, beliau memberikan keterangan lebih satu jam berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan tugas polis.
Terdahulu, tular ucapan seorang individu yang didakwa mengandungi kata-kata memperlekeh tugas polis.
Individu itu didakwa berucap selepas selesai menyertai konvoi motosikal di sini kelmarin.-UTUSAN










