PETALING JAYA: Pengeluaran hasil getah negara dijangka merudum ekoran penoreh dan pekebun kecil komoditi itu mula mencari peluang lain untuk beroleh pendapatan ekoran kos operasi tanaman getah meningkat begitu ketara.
Peningkatan kos operasi sehingga 35 peratus itu menyebabkan ada pekebun kecil yang majoritinya berpendapatan rendah membuat keputusan beralih kepada tanaman kelapa sawit yang menawarkan harga lebih kompetitif.
Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Amran Jaafar berkata, situasi itu menyebabkan keluasan ladang getah yang tidak diusahakan di negara ini dijangka bertambah berbanding kira-kira 420,000 hektar sebelum ini.
Jelas beliau, harga getah tidak menunjukkan peningkatan susulan konflik di Asia Barat sebaliknya kos operasi pula melonjak melibatkan harga baja dan racun kimia.
“Harga getah tidak naik begitu besar berbanding tanaman lain tetapi kos operasi sudah meningkat dan menjadi beban kepada pekebun kecil yang kebanyakannya merupakan dari golongan berpendapatan rendah.
“Kebanyakan pekebun kecil mencari alternatif atau kerja sampingan untuk meneruskan hidup sebab jika terus bergantung pada pendapatan daripada getah, memang tidak akan mampu untuk menampung kos kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Amran berkata, sudah wujud peralihan pekebun kecil dari getah ke kelapa sawit kerana tanaman itu menawarkan keuntungan yang lebih tinggi.
“Apabila tengok secara rambang, harga kelapa sawit lebih baik daripada harga getah pada ketika ini.
“Jadi ini menjadi satu ancaman kepada negara kerana pengeluaran getah kita akan semakin berkurang, dahulu kita mengeluarkan satu juta tan tetapi kini hanya sekitar 350,000 tan.
“Jadi jika ramai penoreh getah beralih maka jumlah itu akan semakin berkurang. Dahulu kedudukan kita pada nombor satu di peringkat dunia tetapi sudah turun ke tangga sembilan atau 10,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji semula bantuan yang boleh disalurkan pada pekebun kecil bagi mengimbangi kos operasi yang meningkat itu.
“Bantuan yang ada sekarang tidak begitu ketara, perlu ada program lain yang membantu pekebun kecil dalam masa terdekat ini,” katanya. – UTUSAN










