KOTA BHARU: Tawaran tambang penerbangan sehingga 30 peratus lebih murah setiap kali penganjuran ‘Matta Fair’ menjadi pemacu utama dalam menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Inisiatif hasil kerjasama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Malaysia Aviation Group (MAG) itu bukan sahaja meringankan kos perjalanan, malah menjadikan pakej pelancongan lebih mampu milik sekali gus merancakkan pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa.
Naib Presiden Kajian dan Teknologi Matta, Datuk Mohd. Hizzat Mohd. Shah berkata, setiap kali Matta Fair berlangsung pihaknya akan meminta syarikat-syarikat penerbangan berkenaan menurunkan kadar tambang penerbangan.
“Bila tambang murah, maka pakej-pakej pelancongan akan turut menjadi murah. Kerana itu kita mampu menarik 300,000 pelancong ke Matta Fair di Pusat Perdagangan da Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 3 hingga 5 April lalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Matta Fair Kelantan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor di Tunjong, di sini hari ini.
Mohd. Hizzat memberitahu, penganjuran Matta Fair juga merupakan antara peranan penting dimainkan oleh Matta dalam membantu promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Katanya, kerjasama erat antara Matta Fair dengan Tourism Malaysia di seluruh negara, termasuk Johor, Kelantan dan Kedah bagi merancakkan lagi penyertaan pemain industri.
“Melalui Matta Fair, kita menyediakan platform kepada pemain-pemain industri pelancongan dari seluruh negara untuk mempamerkan tarikan pelancongan serta pakej-pakej ditawarkan melalui kerjasama Tourism Malaysia di setiap negeri,” ujarnya.
Mohd. Hizzat berkata, Matta turut membangunkan sistem TRUST yang membolehkan agensi pelancongan menyalurkan laporan secara terus kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi memudahkan aspek penguatkuasaan diambil sekiranya terdapat sebarang aduan.-UTUSAN










