SEREMBAN: Pembangunan negara tidak boleh hanya berpaksikan kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai pengukuhan nilai dan akhlak dalam kalangan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi merupakan agenda yang dibincangkan di seluruh dunia, namun Malaysia perlu tampil dengan pendekatan tersendiri berasaskan integriti, nilai dan akhlak.
“Semua negara bercakap tentang AI, transformasi digital, peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi. Kita juga berbicara perkara yang sama, tetapi kita juga mesti berbicara soal nilai dan akhlak,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar berkata, rakyat pelbagai kaum dan agama perlu menolak sentimen kebencian dan perpecahan yang hanya menguntungkan pihak tertentu untuk meraih kekayaan dan kuasa.
Menurutnya, masalah sebenar negara bukan berpunca daripada perbezaan kaum, sebaliknya akibat amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh segelintir pihak.
“Semua anak mendapat pendidikan yang baik. Masalah kita bukan masalah kaum, tetapi masalah penyamun dan penyakau.
“Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan boleh hidup bermuafakat dan bekerjasama membangunkan negara. Namun ada pihak yang selepas melakukan penyelewengan cuba menghasut rakyat supaya saling membenci antara satu sama lain,” katanya.
Anwar turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa melakukan muhasabah diri bagi membentuk masyarakat yang berakhlak dan bebas daripada sifat sombong, zalim dan tamak.
Katanya, perubahan yang ingin dicapai dalam negara perlu bermula dengan pembentukan peribadi yang baik sebelum diterjemahkan kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
“Kalau mahu perubahan, ubah daripada diri kita. Mula daripada diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru golongan muda memainkan peranan dalam membawa perubahan positif demi masa depan negara dan meneruskan agenda reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Anak-anak muda mesti turun ke gelanggang untuk menunjukkan bahawa kita mempunyai kekuatan membawa perubahan ke arah kebaikan dan reformasi,” katanya.










