KEPALA BATAS: Malaysia memperoleh jaminan penting daripada Russia apabila Presiden Vladimir Putin, memberi komitmen untuk memastikan bekalan petrol, gas dan diesel ke negara ini kekal terjamin menerusi kerjasama jangka panjang yang mampu menjangkau sekurang-kurangnya 20 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan Putin ketika lawatan kerja ke Kazan, Tatarstan, Russia sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia ke-35 baru-baru ini.
Katanya, persefahaman tersebut menjadi antara pencapaian terbesar lawatan berkenaan kerana mampu memperkukuh keselamatan tenaga negara pada masa depan ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.
“Dalam lawatan baru ini, Presiden Putin memberi jaminan supaya diwujudkan perjanjian jangka panjang bagi memastikan bekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia terjamin sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 tahun.
Semua ini berlaku kerana hubungan persahabatan yang baik,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Bandar Setia Fontaines di sini, semalam.
Anwar berkata, dasar luar Malaysia yang bebas, berkecuali dan pragmatik membolehkan negara menjalinkan hubungan baik dengan semua kuasa besar dunia tanpa memihak kepada mana-mana blok.
Usaha diplomatik kerajaan bukan bertujuan meraih keuntungan politik, sebaliknya memastikan masa depan negara dan kebajikan rakyat terpelihara.
Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menjamin bekalan tenaga negara, meskipun terdapat pihak yang mempersoalkan jadual lawatan beliau ke luar negara ketika beberapa negeri bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Selain Russia, Anwar berkata, pertemuan dengan Presiden Turkmenistan turut membawa perkembangan positif apabila negara itu bersetuju menyerahkan pembangunan telaga gas di Blok 9 dan Blok 10, antara kawasan simpanan gas terbesar dunia, kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Dalam majlis berasingan, Anwar berkata, kerajaan bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media tempatan melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri itu.
Sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi dana itu yang diumumkan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lalu.
Sebanyak 72 syarikat media sudah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta daripada dana itu.
“Kita menyediakan peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian, kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan,” katanya pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, semalam. – UTUSAN










