Masalah pendengaran bukan penghalang raih 10A

Masalah pendengaran bukan penghalang raih 10A

AHMAD Ateef Zhofran Abdul Majid (kiri) berkongsi kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama Norfadilah Awang di Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Masalah pendengaran bukan halangan buat seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) mencipta kejayaan cemerlang apabila meraih keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.

Ahmad Ateef Zhofrab Abdul Majid, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang di sini, membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya seperti pelajar lain.

Katanya, dia mengalami masalah pendengaran sepenuhnya dan bergantung kepada alat bantuan pendengaran dalam proses pembelajaran.

“Walaupun tidak dapat mendengar secara normal, saya memberi fokus sepenuhnya ketika guru mengajar di dalam kelas. Saya juga mengulang kaji pelajaran secara konsisten selain mengambil inisiatif membantu rakan-rakan sebagai mentor selepas waktu kelas,” katanya ketika ditemui di sini.

Anak kedua daripada empat beradik itu turut menjadikan subjek Prinsip Akaun sebagai minat utama dan bercita-cita menjadi seorang akauntan pada masa depan.

Lebih menyentuh hati, kejayaan yang diraih itu hadir selepas bapanya, Abdul Majid Tahir meninggal dunia pada 2024.

Ibunya, Norfadilah Awang yang merupakan seorang guru menjadi tulang belakang utama dalam memberikan sokongan serta dorongan sepanjang tempoh pembelajarannya.

Menurut Ahmad Ateef Zhofrab, dia tidak pernah menganggap kekurangannya sebagai kelemahan, sebaliknya menjadikannya sebagai satu kelebihan untuk terus berusaha.

“Saya sangat bersyukur kerana rakan-rakan dan guru-guru sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah memandang rendah terhadap kekurangan saya,” ujarnya.

Dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan sama ada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN