KOTA BHARU: Tindakan kumpulan ‘mat rempit’ menjadikan balai pelepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini sebagai litar lumba sepatutnya menjadi peringatan dan membuka mata buat kerajaan negeri.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan, Muhammad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, masalah itu mungkin berpunca daripada kegagalan pentadbiran negeri menyediakan kemudahan untuk golongan berkenaan beriadah.
“Seingat saya sekitar 2010, kerajaan negeri ada mengemukakan cadangan membina sebuah litar perlumbaan kereta dan motosikal seluas 19.2 hektar bernilai RM10 juta di Tanah Merah namun ia sekadar janji manis.
“Sehingga hari ini, saya lihat tiada sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri. Jadi saya berharap kerajaan negeri mengambil tanggungjawab dan selesaikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Muhammad Ezzat Zahrim berkata, kerajaan negeri juga perlu berhenti memberi alasan sebaliknya mencari penyelesaian tuntas bagi memastikan golongan muda tidak ‘hanyut’.
Jelasnya, dibimbangi jika langkah segara tidak diambil lebih ramai anak muda memilih jalan raya sebagai ‘litar lumba’ untuk memperagakan gaya tunggangan.
Beliau juga menyifatkan insiden di LSTIP itu bukan sahaja memalukan malah merosakkan imej Kelantan di mata pengunjung dan pelancong.
“Balai pelepasan dibina untuk keselesaan dan keselamatan penumpang tetapi kini disalahgunakan. Ini jelas memalukan seluruh rakyat negeri yang terkenal dengan imej negeri Serambi Mekah,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan tindakan kumpulan mat rempit menjadikan balai pelepasan di terminal baharu LTSIP di sini sebagai litar bukan hanya menyedihkan bahkan sangat memalukan.
Katanya, kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaik taraf LTSIP bagi memastikan perjalanan udara yang lebih baik untuk Kelantan.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya melakukan operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti mat rempit di kawasan itu.
Sebelum ini, media melaporkan, balai pelepasan di terminal baharu LTSIP yang kurang sebulan beroperasi secara penuh dijadikan litar lumba oleh kumpulan mat rempit.-UTUSAN.










