TANAH MERAH: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diingatkan agar tidak memilih jalan singkat dengan terus bekerja, sebaliknya perlu merebut peluang menyambung pengajian termasuk melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menawarkan masa depan lebih terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa Madani (KeDESA), Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zaid menegaskan, tiada pelajar yang tercicir dalam sistem pendidikan negara kerana pelbagai laluan disediakan termasuk untuk mereka yang kurang cemerlang.
Katanya, walaupun gagal dalam SPM, pelajar masih boleh bermula dengan Sijil Kemahiran Malaysia sebelum menyambung ke diploma dan seterusnya ijazah.
“Laluan itu sentiasa terbuka. TVET kini muncul sebagai pilihan strategik apabila bukan sahaja menyediakan kemahiran industri, malah menawarkan elaun bulanan kepada pelajar sepanjang tempoh pengajian.
“Berbanding memilih pekerjaan awal seperti sektor ekonomi gig, sambung belajar jauh lebih berbaloi kerana memberi jaminan kerjaya jangka panjang,” ujarnya ketika merasmikan Program KeDESA Pakat Sambung Ngaji dan Majlis Kecemerlangan SPM 2025, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Hidayah memberitahu, program KeDESA digerakkan bagi memastikan pelajar luar bandar tidak tercicir, termasuk mereka yang tidak layak sijil, supaya terus diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke universiti.
“Kita mahu ubah persepsi. Bukan hanya pelajar cemerlang, semua anak desa mesti ada masa depan melalui pendidikan,” ujarnya.
Sementara itu, Penaung Persatuan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Tanah Merah (Pintar) Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, seramai 1,100 pelajar cemerlang SPM di Parlimen Tanah Merah menerima sumbangan antara RM50 hingga RM1,000 sebagai galakan.
“Ini penghargaan kepada mereka yang memperoleh antara 1A hingga 10A dan diharap menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh,” ujarnya. – UTUSAN










