Lepas jawatan ketua pembangkang, Hamzah mahu lihat PN lebih baik-Takiyuddin - Utusan Malaysia

Lepas jawatan ketua pembangkang, Hamzah mahu lihat PN lebih baik-Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin bertindak melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kerana mahu melihat suasana dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi lebih baik.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, alasan tersebut dinyatakan oleh tokoh berkenaan dalam surat perletakan jawatan yang dihantar kepada pengerusi gabungan itu Datuk Seri Dr. Ahmad Shamsuri Mokthar kelmarin.

“Kelmarin kita terima surat, Pengerusi PN menerima surat daripada beliau (Hamzah) yang telah mengosongkan jawatan Ketua Pembangkang dengan alasan ingin melihat suasana yang lebih baik.

“Dalam surat itu juga, beliau (Hamzah) berharap tindakannya itu dapat memudahkan proses dalam PN (pentadbiran) sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran dan keharmonian dalam gabungan pembangkang utama negara itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Adilfitri Parlimen Kota Bharu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, beliau akan menghantar surat pemaklumkan mengenai kekosongan jawatan ketua pembangkang ke Speaker Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Katanya, perkara tersebut tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan Ahli Parlimen Larut itu sudah memaklumkan kepada umum mengenai perkara tersebut.

“Saya akan tulis surat kepada Speaker menyatakan kerusi Ketua Pembangkang itu kosong. Ia akan diisi apabila kita (PN) ada calon yang akan dikemukakan nanti,” ujarnya.

Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan Hamzah.

Bagaimanapun katanya, perkara itu dalam peringkat perbincangan dan belum diputuskan lagi.

“Parlimen mula bersidang pada 22 Jun, lambat lagi, kita ada masa yang panjang lagi,” ujarnya.

Media sebelum itu melaporkan, Ahmad Samsuri mengesahkan Hamzah telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN menulis surat pemaklumkan kekosongan jawatan tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN