Jangan tuduh IPT dengan melulu

Jangan tuduh IPT dengan melulu

KES-kes rasuah melibatkan segelintir individu tidak wajar dijadikan asas untuk menghukum seluruh ekosistem IPT yang melibatkan ribuan pensyarah berintegriti dan ratusan ribu pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABEL “IPT jadi lubuk rasuah” seperti yang disiarkan baru-baru ini mengundang perhatian dan dalam masa yang sama menuntut penilaian yang lebih adil dan seimbang. Isu integriti tidak boleh dinafikan, tetapi menuduh secara pukul rata sehingga mencemarkan keseluruhan institusi adalah satu generalisasi yang keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya, kes-kes yang dibangkitkan sebenarnya melibatkan segelintir individu tidak wajar dijadikan asas untuk menghukum seluruh ekosistem institusi pendidikan tinggi (IPT) yang melibatkan ribuan pensyarah berintegriti dan ratusan ribu pelajar yang berusaha secara jujur.

Dalam mana-mana sistem yang besar, pasti ada ruang kelemahan.

Namun, kelemahan bukan bererti kerosakan menyeluruh.

Lebih penting, kes-kes tersebut bukan disembunyikan, sebaliknya disiasat, didakwa dan dihukum.

Ini membuktikan bahawa mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan di IPT masih berfungsi dan tidak lumpuh seperti yang digambarkan.

Jika benar IPT adalah “lubuk rasuah”, mengapa kes-kes ini boleh dikesan dan diambil tindakan?

Dalam keghairahan membongkar isu, kita tidak boleh mengorbankan ketepatan fakta dan keseimbangan naratif.

Tanpa data menyeluruh, dakwaan bahawa rasuah “menular secara senyap” kekal sebagai andaian.

Wacana awam tidak boleh dibina atas persepsi semata-mata, apatah lagi apabila ia melibatkan reputasi institusi negara.

Namun, penegasan perlu dibuat dan integriti tidak boleh dikompromi.

Setiap pelanggaran, walau sekecil mana sekalipun, mesti ditangani dengan tegas.

Dalam hal ini, cadangan untuk memperkukuhkan mekanisme audit dalaman, melindungi pemberi maklumat dan meningkatkan ketelusan adalah langkah yang wajar disokong.

Namun, pembaikan sistem tidak akan berjaya jika ia dimulakan dengan naratif yang menghukum tanpa pertimbangan.

Kita perlu membezakan antara kritikan yang membina dan kesimpulan sensasi yang membinasa.

IPT adalah medan pembinaan ilmu, nilai dan masa depan negara.

Menjatuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini melalui generalisasi melulu bukan sahaja tidak adil, malah boleh memberi kesan jangka panjang kepada reputasi pendidikan tinggi negara di persada antarabangsa.

Justeru, dalam memperjuangkan integriti, kita juga harus mempertahankan keadilan dalam menilai.

Tegas terhadap salah laku, tetapi adil terhadap keseluruhan sistem. Inilah pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa. – UTUSAN

PROFESOR DR. ISMI ARIF ISMAIL
Jabatan Pemajuan Profesional
dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN