Perkukuh integriti dalam IPT

Perkukuh integriti dalam IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DADA-dada akhbar rancak mensensasikan frasa berbunyi ngeri; bahawa institut pendidikan tinggi (IPT) di negara kita kini bertukar menjadi ‘lubuk rasuah’.

Oleh kerana pendedahan beberapa kes terpencil yang melibatkan pensyarah dan penyelidik yang diheret ke mahkamah atas kesalahan rasuah dan penyelewengan geran penyelidikan, seluruh institusi keilmuan negara seolah-olah dipalit arang.

Namun, benarkah dakwaan pukal ini, atau kita sebenarnya sedang tersalah tafsir akan suatu kejayaan sistem?

Sebalik sensasi ini mendedahkan realiti yang sangat berbeza. Peningkatan bilangan kes yang didedahkan hari ini bukanlah petanda bahawa moral institusi sudah hancur.

Sebaliknya, ia membuktikan bahawa kerangka tadbir urus di universiti kini berada pada tahap yang sangat cekap dan kukuh dalam kerjanya membersihkan anasir-anasir tidak beretika.

Universiti tidak perlu lagi bersikap defensif apabila kes-kes ini terbongkar, kerana kecemerlangan sejati memang menuntut pembudayaan integriti yang telus secara radikal.

Perang Suci menentang Rasuah
Kerajaan telah lama melancarkan “perang suci” secara sistemik bagi menentang rasuah.

Ia bertitik tolak daripada inisiatif “Gerakan Pemantapan Governans, Integriti dan Anti-rasuah” pada tahun 2018 lagi, yang mengubah paradigma pengurusan secara drastik; daripada sekadar patuh pada peraturan secara pasif, kepada langkah yang sangat agresif dalam mengesan kelemahan dan mengambil tindakan punitif.

Momentum daripada initiatif 2018 ini meletakkan asas kritikal untuk Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan (NACP), yang menetapkan pelan tindakan yang komprehensif untuk memastikan pentadbiran awam beroperasi bebas daripada cengkaman rasuah sistemik.

Menginstitusikan Integriti Melalui Perundangan
Bagi membongkar rasuah yang berakar umbi, IPT tidak lagi bergantung pada pekeliling pentadbiran yang sekadar melepaskan batuk di tangga. Penubuhan Unit Integriti (UI) kini adalah satu mandat yang tidak boleh dirunding.

Ia dibenamkan terus ke dalam kedaulatan undang-undang universiti, berakar umbi di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta Statut Universiti.

Di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) umpamanya, Statut Ketua Unit Integriti ini dilindungi di bawah perkenan Canselor, memberikannya “gigitan undang-undang” yang kukuh melalui penyeliaan langsung oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) tanpa campur tangan kuasa eksekutif universiti.

Misi teras mereka adalah untuk secara aktif menginstitusikan dan memupuk budaya integriti yang kukuh dalam Badan Berkanun, memastikan IPT mempunyai mekanisme bebas untuk mengesan, mengesahkan dan mengurus aduan.

Bagi memastikan UI ini benar-benar ‘bertaring’, ia wajib diketuai oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang melepasi ujian ketat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Mereka bukan pentadbir biasa, tetapi profesional bertauliah yang pakar membongkar amalan rasuah sebelum ia bermetastasis menjadi barah.

Ketelusan pengurusan aduan
Pendemokrasian proses aduan telah mengubah sepenuhnya landskap keadilan institusi. Rungutan dan laporan salah laku tidak lagi disapu di bawah permaidani.

Hari ini, aduan boleh mengalir melalui pelbagai jalan yang selamat dan boleh diakses, disokong oleh Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat dan sistem pengurusan aduan digital yang selamat.

Bagi memastikan tidak wujud sebarang campur tangan atau percubaan “menyapu aduan di bawah permaidani”, rombakan struktur yang radikal telah dilakukan. Di UniSZA, UI dan Unit Audit Dalam (UAD) kini diletakkan di bawah pengawasan langsung LPU, dan bukan lagi di bawah pengurusan eksekutif IPT.

Melalui struktur ini, sebarang keputusan untuk meneruskan prosiding tatatertib atau tindakan perundangan diputuskan secara telus dan bebas di peringkat LPU.

Melahirkan Generasi Kalis Rasuah
Falsafah tadbir urus ini tidak terhenti pada staf semata-mata, ia turut disuntik terus ke dalam jiwa mahasiswa. Melalui gagasan Flexible Education with Soul (FLEXS) di UniSZA, nilai etika dan anti-rasuah telah diwajibkan.

Lebih membanggakan, UniSZA melakar sejarah menubuhkan Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) pertama beruniform dengan kerjasama SPRM.

Selepas tamat empat semester latihan lasak fizikal dan mental, pelajar ini ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda sebagai duta antirasuah yang berani menongkah arus di alam pekerjaan kelak.

Di peringkat pengurusan pula, tadbir urus dan integriti yang baik diangkat dan berlabuh secara langsung di bawah Strategik Teras untuk Bakat Berprestasi Tinggi.

Strategi ini secara sengaja dirangka bagi memastikan pemupukan bakat akademik dan pentadbiran berkait rapat dengan akauntabiliti etika.

Falsafahnya begitu jelas: Walau sehebat mana pun kita mengejar penarafan global, kecemerlangan itu tiada nilainya jika dicapai tanpa etika, the end does not justify the means.

Paradoks Keterlihatan: Merit yang Dijadikan Tohmahan
Di sinilah letaknya satu ironi yang dipanggil “Paradoks keterlihatan”. Apabila pelaksanaan dan pemantapan tadbir urus digerakkan secara besar-besaran, radar pemantauan menjadi sangat sensitif. Jaring perundangan diperketatkan, pengauditan disilangkan dan pelaporan diperkasakan.

Impak langsungnya? Keterlihatan kes semestinya akan meningkat. Pendedahan dan pendakwaan terhadap beberapa individu di mahkamah hari ini membuktikan bahawa jentera anti-rasuah universiti berfungsi dengan teramat efisien.

Kehampaan mungkin terasa apabila merit kejayaan dan ketelusan pelaksanaan ini dimanipulasi serta dijadikan peluru tohmahan untuk melabelkan IPT sebagai lubuk rasuah.

Jika seorang doktor ditangkap menerima rasuah, adakah waras untuk kita menghukum seluruh hospital di negara ini sebagai lubuk rasuah?

Menghukum keseluruhan warga akademik berdasarkan angka statistik terpencil adalah satu bentuk kezaliman persepsi. Masyarakat perlu dididik untuk menilai secara saksama.

Peningkatan kes rasuah di pentas mahkamah bukanlah bermakna IPT semakin hancur, sebaliknya ia adalah isyarat nyata bahawa IPT sedang giat “mencuci rumah” mereka.

Universiti sedang bertindak proaktif membuang sel-sel kanser demi mempertahankan kesucian ilmu dan kelestarian sebuah IPT yang benar-benar berintegriti. Masyarakat seharusnya mula melihat keterlihatan dan ketelusan ini sebagai satu keberanian, bukan satu kelemahan. – UTUSAN

MOHD. Fuad Husaini ialah Penasihat Undang-Undang, Penguasa Kanan Kehormat (Timbalan Komandan) Kor SUAR UniSZA, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN