LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada budi bicara institusi pendidikan tinggi di Sabah untuk menyesuaikan aktivitinya selaras tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kebiasaannya KPT tidak akan masuk campur urusan aktiviti universiti dan institusi pendidikan tinggi lain termasuk menetapkan tarikh konvokesyen mereka.
Katanya, sehingga kini Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membuat keputusan dan memaklumkan kepada KPT untuk meniadakan konvokesyennya pada hari pengundian PRN Sabah pada 29 November ini.
“UMS dan mungkin institusi-institusi lain (di Sabah) yang kebetulan ada konvokesyen dan acara lain, kita serahkan kepada budi bicara (mereka) (jika bertembung tarikh PRN Sabah),” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas meluncurkan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa 2025 (Pulara 2025) di sini, malam tadi.
Zambry berkata, majlis konvokesyen UMS berlangsung selama beberapa hari dan salah satu hari tersebut jatuh pada tarikh hari mengundi PRN Sabah Ke-17.
Katanya, UMS mempunyai alasan berbuat demikian kerana tidak mahu dituduh tidak memberi hak dan kebebasan kepada mahasiswa, pensyarah dan pihak lain untuk mengundi pada tarikh tersebut.
Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataannya beberapa hari lalu memaklumkan sedang menyelaras tarikh baharu bagi Majlis Konvokesyen ke-27 susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa hari mengundi PRN Sabah Ke-17 diadakan pada 29 November ini. – UTUSAN










