Harga LPG melonjak sehingga RM330 setong

Harga LPG melonjak sehingga RM330 setong

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial bersaiz 50 kilogram (kg) dilaporkan melonjak sehingga RM330 setong di pasaran ketika ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha makanan dan perniagaan kecil.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga LPG komersial turut menunjukkan peningkatan ketara apabila silinder 14kg kini dijual sekitar RM84 hingga RM104, manakala silinder 50kg pula berada pada RM270 hingga RM330 setong bergantung kepada pembekal dan lokasi.

Bagaimanapun, harga LPG bersubsidi bagi kegunaan isi rumah kekal tidak berubah dengan kadar runcit RM26.60 bagi silinder 14kg, RM22.80 (12kg) dan RM19.00 (10kg).

Kenaikan harga itu dilaporkan hanya melibatkan kategori LPG komersial yang sebelum ini berada dalam lingkungan RM150 hingga RM190 setong.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KODN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kerajaan memberi jaminan harga LPG bersubsidi kekal dan tidak mengalami sebarang perubahan.

Namun beliau berkata, harga gas LPG komersial tidak diletakkan harga kawalan tetapi akan di pantau harga untuk pastikan tiada pencatutan.

“Ya, harga gas (LPG) bersubsidi bagi kegunaan isi rumah adalah kekal dan tidak mengalami sebarang perubahan pada masa ini.

“Kerajaan terus komited memastikan bekalan LPG bersubsidi ini kekal stabil dan mampu milik bagi kegunaan harian rakyat.

“Bagi harga gas LPG komersial tidak diletakkan harga kawalan. Namun di pantau harga untuk pastikan tiada pencatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan melalui KPDN sentiasa memantau pergerakan harga LPG di semua peringkat rantaian bekalan, daripada pengimport, pemborong hingga ke peruncit, bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk pencatutan atau keuntungan berlebihan.

“Penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memberi kuasa kepada KPDN untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah tanpa justifikasi kos,”katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, KPDN turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan, termasuk tindakan berasaskan aduan awam serta risikan, bagi memastikan pematuhan di semua peringkat industri.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan mengambil kesempatan terhadap pengguna akan dikenakan tindakan tegas, termasuk kompaun atau pendakwaan di mahkamah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN