KOTA BHARU: Kenaikan harga diesel yang kini mencecah RM6.02 seliter memberi tekanan besar kepada golongan pesawah apabila kos operasi mereka melonjak kepada RM3,000 satu hektar berbanding RM2,000 sebelum ini.
Memburukkan lagi keadaan, kemarau yang melanda negeri ini menyebabkan pesawah berdepan kesukaran untuk memulakan musim baharu yang dijangka bermula Mei ini
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, situasi tersebut memaksa pesawah berfikir panjang sebelum memulakan musim baharu penanaman.
Seorang pesawah, Tamlikhan Mohd. Resdi, 43, berkata, kenaikan kos operasi bukan sahaja menjejaskan keuntungan malah boleh memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan padi sekiranya tidak ditangani segera.
“Pengeluaran padi bergantung kepada penggunaan diesel bermula jentera membajak, pam air, mesin menuai sehingga kepada pengangkutan hasil.
“Upah jentera meningkat ketara kerana harga diesel naik mendadak. Ini menyebabkan kos keseluruhan penanaman turut meningkat sehingga 50 peratus,” katanya semalam.
Tamlikhan berkata, ketika ini kos membajak menunjukkan peningkatan apabila bagi keluasan 0.4 hektar, bayaran yang sebelum ini sekitar RM170 kini boleh mencecah RM200 atau lebih.
Dia berharap kerajaan dapat mempertimbang langkah intervensi bagi meringankan beban mereka termasuk bantuan subsidi atau insentif khas bagi sektor pertanian.
Sementara itu, petani di Tumpat menjangkakan upah menuai mengalami kenaikan susulan peningkatan harga diesel ketika ini.
Abdullah Yusof, 62, berkata, kenaikan itu mula dirasai minggu lalu apabila upah menuai sudah mencecah RM26 untuk 85 kilogram padi.
Katanya, musim lalu kos menuai padi untuk berat sama sekitar RM17.50.
“Ia termasuk upah jentera menuai dan caj tambang lori untuk menghantar padi ke kilang. Saya jangka ia terus meningkat. Jika terus naik, besar kemungkinan kami tidak mampu untuk menyerap kos. Pilihan yang ada, mungkin terpaksa berehat,” ujarnya.
Abdullah berharap kerajaan dapat lakukan pemulihan segara bagi memastikan rantaian sumber makanan negara tidak terjejas dengan kenaikan harga diesel. – UTUSAN










