100-hari-tiada-air-100-pesawah-terjejas-cuaca-panas

100 hari tiada air, 100 pesawah terjejas cuaca panas

CAPTION PESAWAH menunjukkan kawasan sawah yang terjejas akibat kekurangan bekalan air susulan musim panas di Seberang Perak, dekat Pasir Salak, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kira-kira 100 pesawah di sini berdepan masalah ketiadaan bekalan air akibat musim panas yang melanda ketika ini.

Situasi tersebut menjejaskan tanaman padi seluas kira-kira 2,000 hektar yang baharu berusia antara 30 hingga 40 hari dan dikhuatiri akan rosak sekiranya masalah itu berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Timah, Zohir Jamaludin berkata, tanaman padi berkenaan dijangka hanya mampu bertahan kira-kira seminggu lagi tanpa bekalan air mencukupi.

“Paras air Sungai Perak yang surut menyebabkan pam tidak dapat menyedut air untuk disalirkan ke kawasan sawah berikutan cuaca panas berpanjangan.

“Sehingga kini, hampir 100 hari kawasan terjejas tidak menerima bekalan air. Kami berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Tanaman padi ketika ini hanya mampu bertahan kira-kira seminggu lagi. Jika bekalan air masih tidak diterima dalam tempoh tersebut, usaha kami akan menjadi sia-sia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, kekurangan bekalan air turut menyebabkan beberapa kawasan lain tidak dapat memulakan penanaman bagi musim baharu.

Katanya, keadaan sawah yang kering dalam tempoh lama menyebabkan kawasan itu ditumbuhi rumput sambau, manakala benih padi yang dibeli pula berisiko rosak jika disimpan terlalu lama.

“Kami telah membelanjakan ribuan ringgit untuk musim penanaman baharu, namun terjejas teruk akibat masalah bekalan air disebabkan musim kemarau.

“Kami berharap pihak berkaitan dapat menyalurkan bekalan air dari kunci air utama di Teluk Sena ke kawasan sawah kami,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN