KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud mengesahkan beliau dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan memperlekehkan tugas polis pada petang ini.
Wan Rohimi berkata, beliau akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sekitar pukul 5 petang.
“Petang ini saya akan memberikan keterangan,” katanya secara ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kenyataan seorang lelaki yang didakwa memperlekeh tugas pasukan keselamatan itu semasa berucap selepas selesai menyertai konvoi motosikal di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia melibatkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, tular ucapan seorang individu yang didakwa mengandungi kata-kata memperlekeh tugas polis.
Individu itu didakwa berucap selepas selesai menyertai konvoi motosikal di sini kelmarin.
Sebelum itu, Wan Rohimi mendakwa sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa telah mengganggu kelancaran Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB hari ini.
Menurut beliau, konvoi yang dianjurkan secara notis singkat itu berjaya menarik penyertaan lebih 500 penunggang, namun berdepan beberapa sekatan sepanjang laluan.-UTUSAN










