Nothing bakal ubah `wajah’ jalan sekitar Bukit Bintang

Nothing bakal ubah `wajah’ jalan sekitar Bukit Bintang

Wajah penyanyi antarabangsa, Charli xcx muncul di layar skrin digital di Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama telefon pintar dan audio pengguna global, Nothing bakal mengubah wajah jalan-jalan sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan membawa wajah penyanyi antarabangsa Charli xcx di layar-layar skrin digital sekitar kawasan tumpuan pelancong itu.

Wajah penyanyi, penulis lagu dan pelakon kelahiran British itu akan tampil di skrin digital di kawasan segi tiga emas tersebut yang terkenal sebagai pusat pelancongan di ibu kota melalui kempen globalNya, `NOTHING [CHARLI XCX].’

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, pelancaran kempen di Kuala Lumpur, susulan pengumuman Charli xcx menjadi duta jenama global pertama dan pemegang saham syarikat berkenaan.

“Charli xcx atau Charlotte Emma Aitchison menyertai senarai pemimpin budaya global termasuk The Weeknd, Casey Neistat dan Swedish House Mafia yang menyokong Nothing bukan sahaja sebagai jenama teknologi tetapi juga sebagai platform untuk ekspresi kreatif,” katanya.

Sempena pelancaran itu, Nothing turut menampilkan visual kempen terkini bagi siri telefon pintar Phone (4a) dan Headphone (a) pada poster aras jalan di seluruh negara.

Katanya, pelancaran itu meletakkan Nothing merentasi latar langit bandar dan laluan harian masyarakat, daripada layar skrin digital format besar di salah satu daerah gaya hidup paling dikenali di Kuala Lumpur hinggalah pengiklanan luar rumah (OOH), poster tampal gaya wheatpaste di jalanan.

“Di sekitar bandar Kuala Lumpur, kedua-dua lapisan ini hadir seiring di mana satu bergerak menerusi layar skrin digital format besar yang membentuk rentak visual Bukit Bintang, manakala satu lagi berada lebih dekat di aras jalan, tempat orang ramai menjalani rutin harian mereka.

“Kempen ini mencerminkan pendekatan Nothing untuk muncul secara langsung, secara visual, dan tanpa menjelaskan dirinya secara berlebihan.

“Bagi Nothing, pelancaran ini juga mencerminkan cita-cita jenama yang lebih luas untuk membina teknologi di persimpangan reka bentuk, budaya, dan ekspresi diri,” katanya.

Diasaskan di London, Nothing mempunyai misi untuk menjadikan teknologi menyeronokkan dan memberi inspirasi kepada ekspresi diri melalui produk pemenang anugerah yang kelihatan berbeza, berbunyi berbeza dan terasa berbeza.

Nothing ialah jenama telefon pintar dan audio pengguna yang paling pesat berkembang di seluruh dunia, dan satu-satunya syarikat telefon pintar baharu yang muncul dalam dekad yang lalu.

Disokong oleh 11,000 pelabur komuniti dan lebih AS$450 juta (RM1.86 bilion) daripada pelabur global terkemuka, Nothing sedang membayangkan semula teknologi peribadi untuk generasi akan datang, dibentuk oleh budaya, kreativiti dan komuniti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN