Penghantar barangan ditahan bantu kes curi dompet di Semenyih

Penghantar barangan ditahan bantu kes curi dompet di Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penghantar barangan berusia 37 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian dompet yang berlaku di sebuah pasar raya besar di Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penahanan itu dibuat selepas rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial.

Katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 1 pagi semalam sebelum direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lalu kira-kira pukul 9.37 malam dan siasatan awal mendapati kejadian kecurian dompet tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 3 petang di kawasan CLC Hypermarket, Semenyih.

“Susulan kejadian tersebut, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat yang tular di aplikasi TikTok dan dipercayai dirakam selepas kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Naazron, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau sebarang aktiviti jenayah diminta menghubungi talian kecemasan NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN