Belum ada penagih dadah jenis fentanyl dapatkan rawatan di AADK

Belum ada penagih dadah jenis fentanyl dapatkan rawatan di AADK

RUSLIN Jusoh (tiga kanan) menyerahkan poster berkaitan bahaya dadah semasa Majlis Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang rekod rasmi melibatkan penagih dadah jenis fentanyl mendapatkan rawatan di pusat pemulihan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Roslin Jusoh berkata, meskipun belum ada kes direkodkan, pihaknya tidak memandang ringan ancaman dadah sintetik berbahaya itu.

“Setakat ini, di pusat pemulihan kita belum ada lagi rekod kes penagih yang disahkan mengambil fentanyl.

“Namun, kita tetap bersedia kerana bahan ini sangat berbahaya, malah dilaporkan 50 peratus lebih kuat daripada morfin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sua Mesra AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini.

Rusli memberitahu, AADK mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan pelbagai jenis dadah sintetik termasuk syabu dan bahan berhalusinasi seperti magic mushroom, sekali gus memberi kelebihan dari segi kesiapsiagaan.

Katanya, pendekatan rawatan yang digunakan adalah berbeza mengikut kategori dadah yang diambil oleh penagih.

“Bagi dadah tradisional seperti heroin dan ganja, kita mempunyai modul rawatan tersendiri. Manakala bagi dadah stimulan seperti syabu dan pil kuda, pendekatan yang digunakan juga berbeza.

“Untuk dadah berhalusinasi seperti ‘magic mushroom’ atau fentanyl, modul pemulihan mungkin hampir sama, namun pendekatan rawatan perlu disesuaikan mengikut kesan dan tahap ketagihan,” ujarnya.

Rusli berkata, walaupun negara masih belum berdepan kes ketagihan fentanyl secara rasmi, AADK akan terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kemasukan dadah tersebut ke dalam negara.

“AADK sentiasa bersiap sedia dari segi rawatan, pemulihan dan kepakaran pegawai bagi memastikan sebarang ancaman baharu dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN