Bolehkah lelaki terima arahan saya? - Azira Shafinaz - Utusan Malaysia

Bolehkah lelaki terima arahan saya? – Azira Shafinaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sering tampil dengan imej lemah lembut, pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz mengakui berdepan cabaran luar biasa apabila menggalas watak sebagai strategis kumpulan kongsi gelap dalam naskhah aksi terbaharu, Tarung: Unforgiven.

Menurut Azira atau  Azira Shafinaz Ramlan, 35, karakter Dahlia yang dibawakan berbeza kerana menampilkan kekuatan feminin tanpa perlu tampil keras seperti lelaki.

“Karakter Dahlia sangat berbeza. Dia adalah ‘otak’ dalam kumpulan kongsi gelap Marga. Cabaran buat saya adalah bagaimana untuk membuatkan lelaki-lelaki ini mendengar kata.

“Jika orang mendengar suara saya, mungkin mereka akan tertanya-tanya sama ada bolehkah lelaki-lelaki ini  menerima arahan saya. Jadi, saya perlu bermain dengan ekspresi wajah dan nada suara yang tepat bagi membuktikan kewibawaan Dahlia.

“Dahlia memimpin dengan cara yang dihormati. Saya tidak mahu dia kelihatan kecil atau tenggelam apabila berada di sekeliling lelaki-lelaki bertubuh besar dalam kumpulan itu.

“Walaupun dia satu-satunya wanita dalam kumpulan Marga, dia tetap perlu menyerlah dengan cara tersendiri supaya setiap arahan yang dikeluarkan dipatuhi tanpa ragu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azira berkata, pengalaman menjadi satu-satunya pelakon wanita dalam kumpulan tersebut pada awalnya agak kekok, namun dia berjaya menyesuaikan diri sepanjang penggambaran.

“Di set memang menyeronokkan, cuma saya lebih banyak berdiam kerana seorang sahaja perempuan.

“Saya cuba menyesuaikan diri dengan pelakon lain memandangkan ini kali pertama saya bekerjasama dengan Mierul Aiman, Aedy Ashraf dan Bront Palarae.

“Bagaimanapun, dengan Sharifah Sakinah dan Zul Ariffin, saya sudah biasa bekerja bersama,” katanya.

Bagi memastikan watak tersebut lebih berkesan, Azira berkata, dia melakukan rujukan terhadap beberapa naskhah antarabangsa serta mengikuti kelas lakonan bagi memperincikan setiap aspek karakter Dahlia.

“Saya banyak menonton drama Griselda sebagai inspirasi, namun tidak mengambil keseluruhan karakter. Kami juga mengikuti kelas lakonan dan sering berbincang dengan jurulatih lakonan.

“Karakter Dahlia ini dibina dengan teliti, termasuk dari segi penampilan, cara percakapan, tona suara hingga gaya rambut,” katanya.

Tarung: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat, Hatta yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi.

kemudiannya terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari pihak lawan merupakan individu yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.

Filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN