DALAM keadaan ekonomi yang serba tidak menentu, pengurusan kewangan dan langkah penjimatan harus menjadi tunjang utama dalam menjalani kehidupan hari ini.
Bagi aktres popular, Anzalna Nasir, konsep menabung yang sejak kecil sudah diamalkan harus menjadi ‘kewajipan’ untuk diteruskan oleh anak-anaknya walaupun keadaan kewangan stabil.
Jelasnya, dia dan suami, Hanif Zaki mahu anak-anak mereka, Mohamad Eidress dan Mohamad Emirhan belajar kepentingan menyimpan dan menguruskan kewangan biarpun secara santai.
“Selalunya, apabila musim hari raya, memang kanak-kanak akan dapat duit raya yang banyak. Sebelum saya menyimpan, saya akan tanya dulu, Eidress nak beli apa. Apa kemahuan dia.

“Selepas itu, baru saya akan menyimpan. Bukan untuk saya dan suami, tetapi untuk masa depan mereka. Itu lebih penting terutama kita tidak tahu dengan keadaan ekonomi sekarang.
“Saya sendiri pun menyimpan. Biarpun mungkin orang nampak saya berbelanja ke sana ke sini, tetapi tetap saya pastikan ada simpanan untuk masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelas Anzalna, amalan menabung membentuk disiplin dan sikap bertanggungjawab anak-anak sejak usia muda.
Katanya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak memahami nilai wang serta membezakan antara keperluan dan kehendak agar mereka tidak membesar dengan sikap boros.
“Kalau dari kecil mereka sudah biasa simpan duit, mereka akan lebih menghargai setiap sen yang ada.
“Menabung ini bukan sebab kita kedekut, tetapi sebagai persediaan. Sekurang-kurangnya kalau ada kecemasan atau perkara tak dijangka, kita tak panik,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan agar masyarakat mula mengamalkan budaya menabung walaupun dalam jumlah kecil kerana konsistensi lebih penting berbanding nilai simpanan itu sendiri.
“Apa yang penting adalah disiplin, sedikit demi sedikit pun boleh jadi banyak. Yang penting, kita ada kesedaran untuk jaga masa depan,” ujarnya.
Saranan itu selari dengan pelancaran Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 oleh PTPTN yang bukan sahaja menawarkan hadiah menarik, tetapi juga bertujuan menggalakkan masyarakat Malaysia menabung secara konsisten.
Melalui konsep “lebih banyak simpan, lebih tinggi peluang menang”, kempen ini mendorong orang ramai untuk meningkatkan simpanan mereka walaupun dalam jumlah kecil.
Dengan serendah RM50, pendeposit sudah layak menyertai cabutan, sekali gus menjadikan amalan menabung lebih mudah dan menarik selain tawaran hadiah bernilai tinggi turut menjadi tarikan.
Untuk maklumat lanjut layari https://www.ptptn.gov.my/CabutanWOW2026/. – UTUSAN










