Bekalan air terputus, ganggu kehidupan di tiga kampung

Bekalan air terputus, ganggu kehidupan di tiga kampung

SAAD Zainol menunjukkan tong digunakannya untuk menyimpan air ketika ditemui di Kampung Sungai Gelam, Merbok, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: Lebih 150 orang penduduk di tiga buah kampung di sini tertekan apabila terpaksa berdepan dengan masalah gangguan bekalan air sejak hampir dua bulan lalu.

Penduduk mendakwa walaupun bekalan air dihantar oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun lori yang membawa bekalan itu tidak mengikut jadual yang ditetapkan dan mengehadkan jumlah air kepada penduduk.

Keadaan ini menyebabkan penduduk di Kampung Sungai Gelam, Kampung Segantang Garam dan Kampung Jilid 8, mengalami kesukaran dalam utusan harian ekoran tanpa bekalan air.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Gelam, Rokiah Khamis, 70, berkata, bekalan air paip ke rumahnya telah terputus sejak pertengahan Februari lalu hingga menyukarkan kehidupan seharian dia sekeluarga.

“Lebih teruk lagi pada sambutan hari raya lalu apabila saya terpaksa membuat catuan air bagi menampung keperluan anak, menantu dan cucu-cucu yang pulang beraya di rumah.

“Jika air masih tidak mencukupi untuk mandi manda saya akan menyuruh anak mengangkut air di telaga boring yang terdapat di Bendang Man walaupun terpaksa berulang alik dalam jarak yang jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Seorang lagi penduduk, Saad Zainol, 61, berkata, kehidupannya sekeluarga cukup tertekan kerana sering mengalami gangguan bekalan air bersih.

“Keadaan ini telah lebih enam tahun dialami menyebabkan aktiviti seharian kami tidak teratur.

“Selain penat mengangkut air kami juga perlu mengeluarkan kos sampingan bagi membeli air minuman dan membasuh baju di kedai dobi.

“Sebelum ini kami terpaksa berjaga antara pukul 3 pagi hingga 5 pagi untuk menadah air tetapi sekarang hanya mengharapkan air disediakan SADA semata-mata,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN