TUMPAT: Hasrat 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membayar RM8,000 kepada ejen untuk masuk ke negara ini dan bekerja sebagai buruh binaan tidak kesampaian selepas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini kelmarin.
Kesemua PATI berusia antara 19 hingga 34 tahun itu dicekup semasa berada di sebuah rumah transit di Chabang Empat di sini pada pukul 1.15 petang.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa serbuan dilakukan kesemua PATI yang terdiri daripada 14 lelaki dan enam perempuan itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Katanya, kesemua migran warnegara Mynamnar itu memasuki negara ini menggunakan laluan tidak sah dari Thailand.
“Siasatan awal mendapati migran tersebut telah membuat bayaran kepada ejen sebanyak RM8,000 setiap seorang untuk masuk ke negara ini dan bekerja sebagai buruh binaan.
“Kesemua PATI yang ditangkap itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu pada Jumaat, Ahmad Radzi memberitahu, PGA telah berjaya menahan dua PATI warganegara Thailand pada Jumaat semasa melakukan rondaan rutin di Kampung Kedap, Rantau Panjang.
Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua PATI berusia 16 dan 17 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah memasuki negara ini.
“Kedua-duanya mengaku telah bekerja sebagai tukang masak di sebuah premis makanan di Pasir Gudang, Johor sejak awal tahun 2024,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 5(2) Imigresen 1959/1963.-UTUSAN










