Bapa remaja maut dirempuh SUV maafkan guru, serah siasatan kepada polis - Utusan Malaysia

Bapa remaja maut dirempuh SUV maafkan guru, serah siasatan kepada polis

KEADAAN SUV yang merempuh mangsa di kawasan surau di SMK Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bapa kepada pelajar yang maut selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam sudah memaafkan guru terlibat.

Mohd. Azaudin Abdullah, 43, berkata, pada masa sama dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Saya harap siasatan dijalankan dengan telus,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azaudin memberitahu, buat masa ini, dia mahu menenangkan fikiran terlebih dahulu selepas kejadian mengejut menimpa arwah Nur Fatimatul Hawa, 13, sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Katanya, dia akan berbincang dengan ahli keluarga yang lain termasuk kakak iparnya, Zuraifah Mohd. Noor, 43, yang menjaga arwah dan tiga adik-beradiknya yang lain.

“Saya sudah maafkan guru terbabit. Bagi saya, kalau orang minta maaf, kita sebagai orang Islam, kena maafkan.

“Saya perlu banyak berbincang dengan keluarga kerana didatangi ramai pihak yang menawarkan khidmat bantuan guaman.

“Buat masa ini, saya serahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dijalankan dengan telus. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah dan adik-adiknya kira-kira pukul 11 malam pada malam Jumaat lalu,” ujarnya.

Mohd. Azaudi berkata, dia sangat sedih kehilangan Nur Fatimatul Hawa atau lebih mesra dipanggil Hawa kerana arwah merupakan anak yang manja.

“Saya tidak sangka ciuman untuk Hawa pada malam itu merupakan pertemuan kali terakhir sebelum dia pergi meninggalkan kami sekeluarga.

“Hawa merupakan anak ketiga dari empat beradik dan dia paling manja dengan saya. Percakapan dan tutur katanya sangat lembut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN