KOTA BHARU: Taktik seorang bapa yang bertindak sebagai penyelaras dan anak berperanan sebagai penghantar ganja terbongkar selepas polis merampas bahan terlarang seberat 40 kilogram (kg) dalam serbuan di Kampung Banggol Kulim di sini pada Sabtu lalu.
Lebih mengejutkan lagi, dua beranak itu turut menjadikan premis menyediakan perkhidmatan insurans kenderaan ke Thailand dan syarikat kurier sebagai lokasi untuk menyembunyikan dadah tersebut dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dua beranak masing-masing berusia 25 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari.
Katanya, hasil pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada rampasan ganja bernilai RM120,000 yang ditemukan di sebuah bangsal yang jadikan sebagai tempat menjual buah-buahan di kawasan premis itu.
“Siasatan mendapati, premis tersebut berdaftar dengan tiga syarikat perkhidmatan kurier untuk mengurus penghantaran barangan sekali gus memudahkan urusan menghantar dadah-dadah tersebut.
“Premis itu terkenal kerana sering menjadi tempat persinggahan orang ramai untuk membeli insurans kenderaan Thailand sebelum masuk ke negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, dadah tersebut dipercayai dihantar menggunakan perkhidmatan kurier yang diuruskan oleh syarikat mereka ke luar Kelantan terutamanya kawasan Pantai Barat.
Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Proton X50, wang tunai RM160,000, wang tunai mata Thailand sebanyak 160,000 baht (RM24,800) dalam serbuan tersebut.
“Selain itu, pelbagai jenis jam tangan mewah dan barangan kemas dengan keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah berjumlah RM909,000.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 80,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.-UTUSAN










