MBK digesa pantau pokok berisiko - Utusan Malaysia

MBK digesa pantau pokok berisiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) digesa memantau penyelenggaraan pokok-pokok berisiko di kawasan awam susulan cuaca tidak menentu yang semakin kerap melanda negara.

Aktivis masyarakat yang juga Ketua Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, pendekatan menunggu aduan atau bertindak selepas kejadian berlaku tidak lagi memadai memandangkan kejadian ribut dan hujan lebat kini semakin kerap berlaku.

Katanya, meskipun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun MBK perlu mengambil langkah proaktif kerana insiden tersebut berpotensi mengakibatkan kemalangan serius terutama kepada pengguna jalan raya.

“Pokok atau dahan yang tumbang bukan sahaja menghalang laluan, malah boleh menyebabkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa sekiranya menimpa kenderaan yang sedang bergerak.

“Risiko itu lebih tinggi kepada penunggang motosikal yang mempunyai ruang mengelak yang terhad apabila berdepan halangan secara tiba-tiba di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan kejadian hujan lebat dan angin kencang malam tadi yang menyebabkan beberapa dahan pokok tumbang di Jalan Semambu menghala ke Jalan Beserah.

Selain itu, Daniel turut berkata, isu pokok tumbang perkara baharu kerana kejadian seumpama itu sering dilaporkan setiap kali negara berdepan musim hujan, ribut atau cuaca ekstrem.

Katanya, dalam beberapa insiden sebelum ini, terdapat mangsa yang cedera malah kehilangan nyawa akibat dihempap pokok tumbang ketika berada di atas jalan raya atau di kawasan awam.

“Setiap kali berlaku hujan lebat atau ribut, kita sering membaca laporan mengenai pokok tumbang yang merosakkan kenderaan, menutup laluan dan dalam kes tertentu mengorbankan nyawa.

“Kejadian seperti ini bukan lagi perkara luar biasa. Ia berlaku berulang kali dan sewajarnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa aspek penyelenggaraan pokok tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan tidak seharusnya dilakukan secara bermusim atau hanya selepas sesuatu kejadian mendapat perhatian masyarakat.

Sebaliknya, katanya, MBK perlu mempunyai pelan pemantauan yang lebih sistematik dan berterusan terutama ketika musim hujan serta peralihan monsun yang lazimnya meningkatkan risiko pokok tumbang.

“Pokok-pokok yang telah berusia, mempunyai akar yang lemah, condong atau menunjukkan tanda-tanda reput perlu dikenal pasti lebih awal melalui pemeriksaan berkala.

“Kerja pemangkasan dan penebangan pokok yang dikenal pasti berisiko juga perlu dilakukan segera sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurut Daniel lagi, keadaan menjadi lebih membimbangkan sekiranya pokok tumbang melibatkan kabel elektrik kerana ia boleh mengundang risiko renjatan, kebakaran serta bahaya lain kepada orang awam.

Sehubungan itu, beliau menggesa MBK mempertingkat pemeriksaan terhadap pokok-pokok di sepanjang jalan utama, kawasan perumahan, taman rekreasi, sekolah serta lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Beliau turut mencadangkan agar satu mekanisme pemantauan yang lebih berkesan diwujudkan bagi membolehkan pokok-pokok berisiko dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum mendatangkan bahaya kepada masyarakat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN