Vigneswaran sendiri nyatakan hasrat MIC sertai PN – Pas

Vigneswaran sendiri nyatakan hasrat MIC sertai PN – Pas

S.A. VIGNESWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) telah dinyatakan sendiri oleh Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran pada hujung tahun lalu.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah atau kerugian sekiranya MIC memutuskan membatalkan has­rat menyertai gabungan itu.

Beliau berkata, secara prinsip, PN telah menerima hasrat MIC untuk bersama sebagaimana dimaklumkan dalam mesyuarat penghujung 2025 yang dipengerusikan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita menerima hasrat MIC melalui presiden parti mereka, kita menerima secara prinsip penyataan hasrat tersebut. Ini telah dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat PN akhir tahun lalu.

“Namun, PN tiada masalah sekiranya mereka membatalkan hasrat tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, permohonan kemasukan MIC sudah diluluskan menerusi mesyuarat pada 14 Mac lalu menjadikan gabungan itu kini dianggotai lima parti.

Bagaimanapun, Timbalan Pre­­siden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menolak dakwaan dengan mendakwa Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Setakat berita ini ditulis, Vig­neswaran enggan memberikan sebarang ulasan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, ketika ini PN memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung akhir tahun ini.

Katanya, pihaknya bersedia membuka pintu kepada mana-mana parti yang berminat untuk turut serta, namun sebarang keputusan akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.

“Kita akan menunggu permohonan rasmi daripada pihak berkaitan, termasuk parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Mesyuarat sebelum ini turut membincangkan beberapa permohonan daripada parti lain dan perkara itu akan dibincangkan semula apabila tiba masa­nya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×