Tambang bas kilang naik 28 peratus

Tambang bas kilang naik 28 peratus

Bas kilang
JACKIE Chew Soo Mee (tengah) melihat laporan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel pada sidang akhbar, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengusaha bas kilang menaikkan kadar caj pengangkutan antara 25 hingga 28 peratus susulan kenaikan mendadak harga diesel yang semakin menekan kos operasi industri berkenaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pekerja Malaysia, Jackie Chew Soo Mee berkata, pelarasan kadar tersebut berkuatkuasa serta-merta hari ini susulan kenaikan bahan api itu menyumbang kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan kos operasi.

Katanya, ia merupakan langkah sementara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat, khususnya dalam kalangan pengusaha kecil dan sederhana.

“Dalam tempoh hanya beberapa minggu, harga diesel meningkat secara mendadak sehingga menjejaskan margin keuntungan pengusaha. Ramai yang kini berdepan tekanan kewangan serius dan berisiko mengurangkan perkhidmatan atau menamatkan operasi,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Jackie Chew berkata, berdasarkan rekod semasa, harga diesel meningkat daripada sekitar RM3.04 seliter pada akhir Februari kepada RM5.52 seliter pada 26 Mac, iaitu peningkatan keseluruhan sebanyak RM2.53 atau 84.6 peratus.

Katanya, peningkatan tersebut turut menyebabkan kos pengisian penuh bas pekerja dengan tangki 200 liter melonjak daripada RM598 kepada RM1,104, dalam tempoh kira-kira empat minggu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kebanyakan pengusaha tidak dapat memindahkan kos tambahan kepada pelanggan dengan segera berikutan kontrak perkhidmatan yang bersifat tetap dan jangka panjang.

Sehubungan itu, pihaknya merayu kerajaan agar mempertimbangkan pemberian subsidi diesel bersasar kepada pengusaha bas pekerja sebanyak 2,000 liter sebulan pada kadar RM2.15 seliter di bawah skim Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selain itu, beliau turut memohon bantuan kewangan segera serta pelaksanaan kenaikan harga diesel secara berperingkat bagi memberi ruang kepada industri menyesuaikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN