Malaysia dalam mod krisis, jimatkan petrol

Malaysia dalam mod krisis, jimatkan petrol

Krisis
ANTHONY Loke Siew Fook berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada SMKJ Chan Wa, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia kini berada berada dalam mod krisis dan rakyat diharap mengurangkan atau menjimatkan penggunaan petrol susulan kesan akibat peperangan yang melanda Asia Barat.

Meskipun bekalan bahan api di negara ini masih mampu bertahan sehingga Mei ini, namun ia boleh terjejas sekiranya peperangan di Iran dan penutupan Selat Hormuz terus berlarutan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, susulan itu kos sumber tenaga meningkat lebih 100 peratus sekali gus mencetuskan situasi amat membimbangkan.

“Sebentar tadi dalam Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan (MTEN), Kabinet telah dimaklumkan mengenai situasi semasa ketika ini.

Hal ini menyebabkan banyak industri yang terkesan daripada apa yang berlaku. Banyak negara berada dalam mod kecemasan misalnya Filipina. Thailand dan Vietnam pula mengalami krisis kekurangan bahan api,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Chan Wa, hari ini.

Tambahnya, rakyat digalakkan menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke tempat kerja.

“Kerajaan kini sedang merangka pelan tindakan penjimatan tenaga sebagai langkah awal sekiranya perang Asia Barat tidak berhenti dalam tempoh terdekat.

Malah, Anthony Loke turut mengakui kemungkinan berlaku kenaikan harga tiket kapal terbang akibat kesan daripada kenaikan harga bahan api yang menyebabkan peningkatan kos operasi penerbangan lebih 50 peratus.

“Masyarakat kena faham yang mana industri penerbangan beroperasi secara bebas mengikut pasaran dan keadaan ekonomi. Kerajaan hanya masuk campur tambang penerbangan ketika musim perayaan sahaja.

“Syarikat penerbangan akur dan tidak menaikkan tambang mereka. Selepas itu, kerajaan tidak boleh masuk campur untuk kelestarian industri itu sendiri,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tujuh buah kapal milik negara ini termasuk empat yang sarat membawa muatan minyak mentah yang kini terkandas di Selat Hormuz sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Iran untuk meneruskan pelayaran pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, buat masa ini, kesemua kapal itu yang dinaiki 282 orang anak kapal warganegara Malaysia itu masih lagi menunggu masa sesuai sebelum dapat meneruskan pelayarannya melalui Selat Hormuz.

Namun, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dilapor terus memantau rapi bekalan bahan api negara bagi membantu memastikan kestabilan di seluruh negara susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.

Menurut kenyataannya, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN