PONTIAN: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan sepenuhnya keputusan permohonan untuk kembali aktif sebagai ahli UMNO kepada kepimpinan parti tersebut.
Menurutnya, surat permohonan telah diberikan dan pihaknya sedang menunggu keputusan berhubung perkara berkenaan.
“Surat permohonan sudah diberi, sama ada permohonan saya diterima atau tidak itu saya tidak pasti. Saya serahkan perkara itu kepada pihak UMNO untuk buat keputusan.
“Saya juga tidak harapkan apa-apa kedudukan, biarlah saya kembali sebagai ahli biasa lebih dahulu. Perkara lain kemudian, kerana lebih penting ini adalah perjalanan pulang saya ke parti, jadi tidak perlu terburu-buru,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan di Benut, di sini hari ini.
Tambah bekas Ahli Parlimen Rembau itu, majlis berkenaan adalah jemputan pertama yang dihadirinya selepas membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam parti yang pernah mengangkat karier politiknya, sebelum ini.
“Beliau (Sumali) antara orang penting yang bawa saya pulang ke UMNO, beliau telah menyusun perjumpaan antara saya dengan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, jadi saya amat berterima kasih kepadanya.
“Saya telah kenal beliau sejak zaman Pemuda UMNO lagi, beliau adalah setiausaha kerja Pemuda UMNO ketika saya menjadi Ketua Pemuda UMNO,” katanya lanjut.
Sementara itu, Khairy turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Bella Astillah.
“Tahniah YB Syed Saddiq atas pertunangan dengan Bella, bukan Bell Ngasri ya. Saya doakan yang terbaik untuk beliau,” katanya ringkas.-UTUSAN.







