KOTA BHARU: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyasarkan kira-kira 20,000 warga pendidik menyertai dua skim baharu yang diperkenalkan iaitu Skim Sejahtera dan Skim Kasih menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, Skim Sejahtera dan Skim Kasih diperkenal dengan nilai manfaat berganda yang ditambah baik daripada skim terdahulu.
Katanya, kedua-dua skim berkenaan yang dilancarkan kelmarin menawarkan manfaat bukan sahaja untuk ahli YGMB malah memberi perlindungan kepada pasangan dan anak-anak ahli.
“Skim Sejahtera menawarkan yuran RM65 sebulan manakala Skim Kasih pula RM69. Kedua-dua skim itu juga menetapkan bayaran bulanan serendah RM35 untuk pasangan dan RM25 bagi seorang anak.
“Dengan bayaran bulanan sebanyak RM129 untuk ahli, pasangan bersama seorang anak, pencarum mendapat perlindungan sebanyak lebih RM300,000,” katanya ketika ditemui pada pelancaran dua skim itu yang disempurnakan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad yang turut dihadiri oleh Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah, di sini.
Sehubungan itu, Wan Munadi berharap lebih ramai warga pendidik menyertai kedua-dua skim berkenaan dalam usaha mencapai sasaran ditetapkan menjelang hujung tahun ini.
Katanya, golongan pesara juga boleh menyertai Skim Kasih dengan syarat umur tidak melebihi 64 tahun sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mendapat perlindungan hayat dan penyakit sehingga 69 tahun.
“Pelaksanaan dua skim baharu itu juga sebagai penghargaan kepada warga pendidik yang sentiasa menyokong usaha YGMB untuk memelihara kebajikan mereka.
“Kita mempunyai keahlian melebihi 100,000 warga pendidik di seluruh negara sejak lima tahun lalu dan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan guru menyertai skim yang ditawarkan YGMB,” katanya.-UTUSAN










