RON95: Kerajaan jimat RM3 bilion setahun

RON95: Kerajaan jimat RM3 bilion setahun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mampu menjimatkan kira-kira RM3 bilion setahun dengan langkah menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95 kepada 200 liter sebulan mulai April, berbanding 300 liter sebulan sebelum ini.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berdasarkan harga semasa RON95 pada minggu ini ia diniagakan pada kadar RM3.80 seliter makanala RON95 bersubdisi masih kekal RM1.99.

Katanya, daripada harga pasaran semasa itu, kerajaan menanggung subsidi sekitar RM1.88 berbanding 60 sen kadar ditanggung kerajaan sebelum berlakunya perang di Asia Barat.

“Jumlah ditanggung kerajaan itu meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum perang. Jadi apabila penyelarasan dilaksanakan iaitu pengurangan 100 liter sebulan kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM188 bagi setiap individu.

“Dalam rekod, seramai 13 juta rakyat Malaysia menikmati subsidi petrol RON95 namun berdasarkan kenyataan Perdana Menteri 90 peratus penerima subsidi tidak terjejas kerana penggunaan petrolnya kurang 200 liter sebulan.

“Jadi apabila penyelarasan ini dilaksanakan, kerajaan dapat menjimatkan RM245 juta sebulan daripada kira-kira 10 peratus (1.3 juta) penerima subsidi yang menggunakan petrol lebih 200 liter sebulan atau RM3 bilion jika krisis di Asia Barat berterusan sehingga tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengurangan itu memberikan penjimatan yang signifikan kepada kerajaan kerajaan untuk tempoh jangka panjang sekiranya peperangan di Asia Barat berlanjutan sekali gus mengakibatkan lonjakan harga minyak mentah di pasaran global.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memutuskanuntuk menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.

Tambahnya, ketegangan yang tercetus akibat serangan berterusan di rantau itu, termasuk tempiasnya ke negara-negara Teluk serta gangguan kepada laluan tenaga strategik seperti Selat Hormuz, memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan minyak dunia.

“Justeru, kerajaan terpaksa mengambil langkah berhati-hati bagi menjamin bekalan dan mengurus penggunaan secara lebih berhemat, tanpa membebankan rakyat,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, penyelarasan had BUDI95 dibuat selepas analisis mendapati purata penggunaan petrol RON95 di bawah skim tersebut sekitar 100 liter sebulan, manakala hampir 90 peratus penerima menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penyelarasan dilaksanakan adalah bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan subsidi ditanggung kerajaan disebabkan kenaikan kos harga minyak mentah dunia yang mendadak.

Katanya, minyak petrol untuk kegunaan domestik adalah diimport dari luar negara maka apabila harga pasaran global melonjak, kos mengimport turut naik.

“Ini juga bermakna perbelanjaan kerajaan terhadap subsidi bahan api juga meningkat. Apabila kuota itu dikurangkan maka peruntukan subsidi bahan api dapat dikurangkan.

“Pada masa sama, ia dapat mengekang aktiviti menyeludup dan menyalahguna subsidi kerana ketirisan itu adalah suatu kerugian kepada kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, apabila kerajaan dapat mengekang kenaikan kos subsidi bahan api, maka peruntukan perbelanjaan bagi perkara seperti pendidikan, kesihatan, infratruktur dan pertahanan dapat dibelanjakan dengan lancar.

“Perkara ini penting bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi negara bagi mencapai pertumbuhan yang mampan dalam jangkamasa pendek, sederhana dan panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN