ARAU: Inisiatif gagasan Rumah Bangsa menerima maklum balas positif apabila ramai yang menyatakan hasrat atau pendirian untuk kembali semula bersama UMNO.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ramai lagi pimpinan khususnya di peringkat bahagian serta cawangan menyatakan hasrat untuk kembali.
Beliau berkata, ia merupakan perkembangan cukup baik dalam mengukuhkan kembali UMNO.
“Mudah-mudahan dengan kemasukan tokoh-tokoh ini dapat perkukuhkan parti dalam membawa slogan Rumah Besar untuk perpaduan serta kebangkitan semula UMNO,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, sebelum inisiatif Rumah Bangsa diumumkan, UMNO negeri juga menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak untuk kembali semula bersama parti itu.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menghantar permohonan mereka yang ingin kembali itu ke Ibu Pejabat UMNO dan akan diproses dalam masa terdekat.
“Mereka ini terdiri daripada ketua cawangan termasuk bekas kepimpinan bahagian yang mungkin sebelum ini merajuk dan keluar selepas kekalahan parti.
“Oleh itu, saya juga menyeru di Arau dan Perlis, mereka yang diambil tindakan disiplin boleh memohon semula untuk kembali ke UMNO jika mereka mahu dan saya akan bawa permohonan berkenaan ke ibu pejabat,” katanya.-MINGGUAN.











