PETALING JAYA: Prestasi dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajar dinilai berdasarkan kemampanan jangka panjang, bukan semata-mata berdasarkan satu angka luar biasa dalam sesuatu tahun tertentu.
Pakar keusahawan dan perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Masrina Nadia Mohd. Salleh berkata, pendekatan menilai satu tahun sahaja boleh mengelirukan dan tidak menggambarkan kekuatan sebenar pengurusan dana persaraan dalam jangka panjang.
Menurutnya, dividen yang stabil dan konsisten lebih mencerminkan pengurusan risiko yang berdisiplin serta strategi pelaburan yang berhati-hati.
“Prestasi pelaburan sentiasa dipengaruhi oleh kitaran ekonomi global yang berubah mengikut keadaan pasaran dan geopolitik semasa.
“Ada tahun mencatatkan prestasi tinggi dan ada tahun sederhana, namun penilaian jangka panjang adalah lebih adil dan menyeluruh.
“Bagi institusi seperti KWSP, objektifnya bukan untuk bertindak sebagai entiti spekulatif, sebaliknya memastikan pulangan yang stabil dan mampan sepanjang tempoh simpanan ahli yang boleh mencecah 30 hingga 40 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Masrina Nadia, dana persaraan bukan untuk mengejar keuntungan maksimum dalam satu tahun tertentu semata-mata.
Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada keseimbangan antara pertumbuhan pelaburan dan pendekatan berhemat bagi melindungi serta memperkukuh simpanan ahli dalam jangka panjang.
“Pendekatan yang terlalu agresif semata-mata untuk mengekalkan angka yang lebih tinggi boleh meningkatkan risiko kerugian pada masa hadapan.
“Kestabilan dividen menunjukkan keupayaan institusi untuk bertahan ketika ekonomi berkembang mahupun ketika pasaran merosot,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi UMK Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, persoalan seperti “mengapa tidak mampu mencapai prestasi seperti tahun sebelumnya?” sering mengabaikan hakikat bahawa setiap tahun berdepan keadaan ekonomi yang berbeza.
Beliau menjelaskan bahawa, yang lebih penting ialah keupayaan institusi mengekalkan pulangan kompetitif secara purata tanpa mengambil risiko berlebihan.
“‘Kestabilan jangka panjang lebih utama kerana simpanan persaraan bukan pelaburan spekulatif untuk keuntungan segera,” katanya.
Tambah Nik Maheran, ahli KWSP memerlukan keyakinan bahawa simpanan mereka berkembang secara berdisiplin tanpa terdedah kepada turun naik melampau yang boleh menjejaskan nilai simpanan.
Menurutnya, keberkesanan institusi persaraan tidak wajar dinilai berdasarkan prestasi satu tahun sahaja kerana objektifnya melangkaui tempoh pendek.
“Penilaian perlu melihat rekod pulangan purata pulangan jangka panjang, aspek pengurusan risiko, tadbir urus serta keupayaan melindungi modal ahli.
“Walaupun kadar dividen 6.15% bagi 2025 sedikit lebih rendah berbanding 6.3% pada 2024, ia masih mencerminkan prestasi yang kukuh dan seimbang apabila dibandingkan dengan purata jangka panjang KWSP,” katanya.
Prestasi dan dividen KWSP yang diumumkan pada 28 Februari lalu mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan institusi itu serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global yang mencabar, KWSP berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM79.6 bilion.-UTUSAN.










