BETONG: Sebanyak sembilan buah kampung di daerah ini menyertai pertandingan pintu gerbang Aidilfitri bagi memeriahkan sambutan Syawal tahun ini.
Dianjurkan pihak Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak, aktiviti tahunan itu juga sekali gus menyaksikan setiap pintu gerban tampil dengan reka bentuk tersendiri seterusnya menjadi tumpuan penduduk setempat.
Setiausaha Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak, Jelani Suhaili berkata, penyertaan itu melibatkan sembilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertanding bagi mencantikkan kawasan masing-masing.
Menurutnya pertandingan tersebut telah dianjurkan sejak sekitar tahun 1970-an dan menjadi antara medium utama dalam mengeratkan hubungan masyarakat selain terus relevan dianjurkan sehingga kini.
“Kalau dulu kita menggunakan pelita minyak tanah dan bahan seperti kayu serta buluh dengan penglibatan gotong-royong penduduk kampung.
“Namun, penganjuran kini lebih tersusun berikutan adanya sumber kewangan yang dapat memudahkan penyediaan pintu gerbang setiap tahun.
“Hampir setiap kampung mempunyai dana melalui JKKK dan tenaga kerja turut diberikan saguhati, berbanding dahulu yang bergantung sepenuhnya kepada gotong-royong,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pertandingan tersebut dianjurkan tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sebaliknya digerakkan oleh pihak penganjur bersama wakil rakyat tempatan.
Sementara itu, seorang perantau, Norhayati Abdullah berkata, kepulangannya ke kampung tahun ini memberi peluang untuk menyaksikan sendiri kemeriahan pertandingan berkenaan serta keunikan pintu gerbang di setiap kampung di Debak.-UTUSAN.










