KUALA LUMPUR: Isu pelantikan Ketua Pembangkang tidak seharusnya berlarutan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya bagaimanapun yakin kemelut berkaitan jawatan itu akan diselesaikan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) akan datang.
Katanya, dalam hal ini kepemimpinan tertinggi PN mempunyai keupayaan untuk menilai keadaan semasa dan membuat keputusan demi kestabilan gabungan tersebut.
“Saya yakin Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan PN akan bertindak sewajarnya untuk selesaikan Ketua Pembangkang dalam masa terdekat. Tindakan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan perlu daripada individu dalam parti komponen, bukan daripada individu yang sudah dipecat daripada parti,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tanpa menamakan individu tersebut, kenyataan Ahmad Faizal itu dipercayai merujuk kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah ketika ini masih kekal sebagai Ketua Pembangkang dan aktif dalam mengeluarkan kenyataan termasuk berkaitan kenaikan harga minyak yang turut menjejaskan ekonomi negara.
“Dalam hal ini, Pengerusi PN perlu bertindak lebih agresif dalam menyuarakan kegusaran rakyat termasuk isu kenaikan harga minyak.
“Sudah tiba masanya untuk Pengerusi PN ke hadapan dalam isu-isu ini.
“Saya yakin Pas akan bertindak sewajarnya untuk selesaikan isu Ketua Pembangkang dimana tidak wajar untuk kenyataan itu datang daripada individu yang telah dipecat parti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, setiap keputusan perlu dibuat oleh parti bagi mengukuhkan institusi tersebut.
“Jangan pula selepas ini hendak menamakan Menteri Besar atau apa-apa jawatan sekali pun, kita perlu bermusyawarah dahulu, jika tidak ia akan melemahkan struktur dalaman parti.
“Setiap keputusan, parti yang perlu tetapkan. Jangan jadikan ia sebagai suatu amalan kerana amalan itu tidak akan mengukuhkan struktur kepartian,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan menggunakan pendekatan musyawarah dalam menentukan pelantikan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah.
Katanya, sehubungan itu, pandangan semua ahli Parlimen pembangkang yang lain juga akan diambil kira dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
“Ketika ini, hanya dua parti dalam PN yang mempunyai wakil di Parlimen iaitu Pas dan Bersatu. Jadi, perbincangan dibuat secara bersama antara kedua-dua pihak.
“Ini amalan biasa kita dan akan terus digunakan dalam menentukan kepimpinan, termasuk jawatan ketua pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan, semalam.-MINGGUAN.










