PADANG BESAR: Pelancong Malaysia masih mengunjungi Thailand meskipun stesen-stesen minyak di negara gajah putih itu berdepan masalah kekurangan bekalan api tersebut akibat konflik perang Asia Barat
Kebiasaan jumlah kemasukan kenderaan dari negara ini ke Thailand sedikit berkurangan pada setiap kali Ramadan dan bukan disebabkan masalah bahan api tersebut.
Seorang pengendali syarikat insurans kenderaan ke Thailand yang hanya ingin dikenali sebagai Faizol berkata, menjadi kelaziman, jumlah kenderaan dari negara ini yang memasuki Thailand pada bulan Ramadan berkurangan sedikit namun ia akan meningkat menjelang Aidilfitri.
“Jika dibuat perbandingan, pada hari-hari biasa, terdapat anggaran sekitar 400-500 kenderaan akan mendapatkan polisi insurans sebelum memasuki Thailand namun jumlah itu memang akan berkurang kepada sekitar lebih 100 kenderaan pada setiap kali Ramadan. Namun ia akan kembali meningkat menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, rakyat Malaysia diminta menangguh seketika perjalanan ke Thailand ekoran stesen minyak di negara itu berdepan krisis kekurangan bekalan kesan perang di Asia Barat.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, situasi makin meruncing apabila stesen minyak kehabisan bekalan sekali gus terpaksa menutup operasi.
Sementara itu, Faizol berkata, situasi stesen minyak kehabisan bekalan di Thailand hanya melibatkan kawasan tertentu malah kebanyakan kenderaan dari negara ini juga kebiasaannya akan membuat pengisian petrol secara penuh sebelum memasuki negara jiran.
“Contohnya kalau mereka nak ke Hatyai, hanya perlu isi penuh sekali sahaja di Malaysia dan tidak akan berdepan gangguan untuk mendapatkan bekalan bahan bakar itu.
“Kebanyakkan pelancong Malaysia selalu akan bercuti ke Hatyai yang jarak tidak terlalu jauh,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di stesen minyak sekitar kawasan Padang Besar mendapati jualan RON97 menunjukkan sedikit peningkatan berbanding kebiasaan sejak beberapa hari lalu.
Malah, terdapat kenderaan dari Thailand membuat pengisian petrol dan diesel di stesen minyak tanpa subsidi yang beroperasi di kawasan Perindustrian Padang Besar.
Seorang pekerja stesen minyak komersial yang dikenali sebagai Zuhairi berkata, situasi pembelian tersebut bagaimanapun dilihat masih terkawal meskipun berlaku peningkatan terutama membabitkan RON97 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Memang ada juga kenderaan Thailand yang membuat pengisian petrol kerana mereka perlu keluar masuk setiap hari atas urusan kerja. Selain itu pertambahan kenderaan ini juga mungkin disebabkan oleh cuti perayaan,” katanya.-UTUSAN










