KANGAR: Pembinaan rumah baharu kepada mangsa kebakaran di Pulau Ketam di sini bakal dilaksanakan sekali gus memberi sinar baharu kepada mereka yang tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, rumah baharu tersebut bakal dibangunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas urusan berkaitan tanah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Katanya, pada masa ini, mangsa dari lima buah rumah yang terlibat itu diberikan bantuan awal.
“MAIPs ada bertanya berkaitan status tanah untuk membangunkan semula rumah kepada mangsa terlibat. Saya sudah minta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) membuat siasatan bagi diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diberikan kelulusan khas.
“Kelulusan itu berkaitan soal tanah atau tapak rumah di kawasan tersebut (Pulau Ketam). Difahamkan mangsa terlibat tidak ada tapak lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas meninjau dan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa di sini semalam.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan meninjau dan menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin, lima buah rumah di Pulau Ketam musnah dalam kebakaran yang menyaksikan mangsa tinggal sehelai sepinggang menjelang sambutan Aidilfitri.
Mangsa yang terlibat masing-masing telah menerima bantuan awal sebanyak RM1,700 dan RM1,200 iaitu membabitkan sumbangan dari Raja Perlis, Menteri Besar serta MAIPs.-UTUSAN.










